Majlis sambutan, rentas negeri tatkala Aidiladha sumbang kepada kenaikan mendadak kes COVID-19 di Terengganu
Majlis keraian yang dijalankan secara sembunyi oleh masyarakat merupakan antara faktor peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di Terengganu, kata Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan pemandu di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Tun Mustapha berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). (Gambar fail: BERNAMA)
KUALA TERENGGANU: Majlis keraian yang dijalankan secara sembunyi oleh masyarakat merupakan antara faktor peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di Terengganu, kata Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut beliau, peningkatan kes juga disumbangkan oleh aktiviti penduduk yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa sambutan Aidiladha baru-baru ini.
“Termasuklah aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan (Aidiladha) walaupun ia tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi video yang dimuat naik ke laman Facebooknya.
Pada Sabtu (31 Jul), Terengganu melaporkan peningkatan mendadak kes harian baru positif COVID-19 iaitu sebanyak 883 kes melibatkan 860 kes penularan tempatan, sekali gus mencatatkan angka tertinggi yang direkodkan sejak pandemik itu melanda.
Selain itu, Dr Ahmad Samsuri berkata peningkatan kes turut disebabkan saringan kontak rapat dan saringan bersasar yang dijalankan di beberapa lokaliti di seluruh negeri itu serta kewujudan kes-kes bergejala berpunca daripada penularan yang pantas dalam komuniti.
“Terdapat juga kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring dan mencetuskan kluster antara mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, tambah beliau, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak penguat kuasa pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, akan memperhebatkan aktiviti kawalan dan saringan kontak rapat serta saringan di lokaliti berisiko yang dikenal pasti.
“Susulan daripada aktiviti pengesanan ini, kita menjangkakan peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang,” katanya.
Beliau menambah kerajaan negeri akan berusaha memohon penambahan vaksin supaya proses vaksinasi di kawasan kritikal yang mencatatkan bilangan kes yang tinggi, terutama di Kemaman dan Dungun, dapat dipertingkat dengan kadar segera.
Beliau turut menggesa seluruh rakyat Terengganu supaya terus mematuhi SOP bagi mencegah penularan COVID-19 walaupun negeri itu berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.