Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Al-Maarif sambut separuh sahaja pelajarnya pada minggu pertama pasca 'circuit breaker'

Kesemua enam madrasah sepenuh masa membuka semula pintunya secara rasmi kepada para pelajar hari ini (2 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kesemua enam madrasah sepenuh masa membuka semula pintunya secara rasmi kepada para pelajar hari ini (2 Jun).

Satu daripadanya ialah Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah yang menyambut 344 pelajar Darjah 6 hingga ke Pra-U 2 pada hari pertama persekolahan selepas ia ditutup disebabkan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Madrasah Al-Maarif mempunyai seramai 686 pelajar kesemuanya.

Ia menjadi strategi penting Mudirahnya, Cikgu Nafisah Ma'mun Suheimi untuk memastikan hanya separuh pelajarnya berada di sekolah pada satu-satu masa, khususnya dalam fasa pertama selepas tempoh 'circuit-breaker'.

Kesemua 344 pelajar yang datang ke sekolah pagi tadi mengikut dua masa berbeza.

Kumpulan pertama, iaitu peringkat Menengah 1, 2 dan 3, masuk jam 8.00 pagi, manakala kumpulan kedua pula, Darjah 6, Menengah 4, Prauniversiti 1 dan 2, pada 9.00 pagi.

Ini sekali gus melancarkan proses mengimbas butiran diri menggunakan sistem SafeEntry serta memeriksa suhu badan tanpa perlu beratur lama dan panjang.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

HAMPIR 2 BULAN DI RUMAH, TITIK BERATKAN EMOSI & MENTAL PELAJAR

Semasa BERITAmediacorp berada di sana, para asatizah dilihat menyambut ketibaan pelajar dengan ceria dan sedaya upaya memudahkan proses agar ia tidak terlalu membebankan mereka.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

"Paling penting bagi saya untuk memastikan pelajar secara emosi bersedia untuk hadir ke sekolah kerana setelah dua bulan tidak datang ke sekolah kami ingin pastikan bahawa secara emosi, secara mental mereka bersedia. Bila mereka nampak guru-guru mereka menyambut mereka masuk ke sekolah, itu adalah bagi saya mungkin sesuatu perkara yang membuat mereka rasa gembira dan bersedia untuk sambung belajar," Cikgu Nafisah memberitahu BERITAmediacorp.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

MAKAN DI BILIK DARJAH ANTARA LANGKAH KESELAMATAN

Sebaik selesai suhu badan mereka diambil, para pelajar langsung naik ke bilik darjah masing-masing untuk memulakan pembelajaran.

Di dalam kelas pula pihak madrasah melaksanakan 'cara duduk waktu peperiksaan' di mana mereka duduk bersendirian, selain jarak selamat 1 meter.

Setiap pelajar juga diberikan pelindung muka untuk digunakan pada waktu rehat apabila mereka membuka pelitup untuk makan.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Namun mereka hanya boleh makan di bilik darjah dan bukan di kantin.

"Waktu makan atau waktu rehat mereka juga masanya telah dibahagikan kepada dua bahagian dan mereka tidak akan turun ke kantin untuk membeli makanan sebaliknya mereka telahpun membuat tempahan online dan kemudian makanan-makanan ini akan dihantar ke kelas masing-masing dan mereka akan makan di dalam kelas," ujar Cikgu Nafisah.

Di setiap laluan koridor, terdapat garisan demi garisan kuning dengan jarak 1 meter bagi memastikan para pelajar tahu di mana untuk berdiri dan tidak bergerak secara berkumpulan pada setiap masa.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

GEMBIRA DAPAT KEMBALI KE SEKOLAH

Meskipun perlu menjalani persekolahan dengan norma-norma baru, ia tidak begitu menjejas para pelajar, malah mereka ternyata gembira untuk dapat kembali ke sekolah berbanding melakukan HBL.

Bagi pelajar Prauniversiti 2, Nur Zakirah Sazali, beliau begitu gembira dapat kembali ke sekolah kerana suasana belajar sendiri di rumah "agak susah" tanpa tunjuk ajar langsung dari guru.

"Kerana jika kita lihat pada bila tempoh 'circuit breaker' ini, banyak yang kita ketinggalan dan beberapa subjek yang macam susah sedikit untuk kita mencari dan memahami subjek tersebut. Saya lebih bersemangat untuk belajar kerana adanya sokongan guru-guru, kawan-kawan dan sebagainya," kata Nur Zakirah.

Begitu juga dengan rakan sekelasnya, Siti Nur Wardyna Amirruddin: "Saya rasa amat teruja dan sangat-sangat terharu kerana dapat kembali ke sekolah kerana apabila kita sedang belajar di rumah ia sangat berbeza dengan belajar di sekolah. Kalau di sekolah kita mempunyai 'vibe' untuk belajar bersama kawan-kawan."

Jadi bagaimana penilaian pihak madrasah tentang pembukaan sekolah hari pertama ini?

"Hari ini Alhamdulillah kami mula-mula agak risau juga. Jadi proses yang telah kami sediakan itu Alhamdulillah dijalankan dengan baik," kata Cikgu Nafisah.

DARJAH 1 & 2 MULA SEKOLAH 29 JUN

Pada minggu depan pula, pelajar Menengah 1, 2 dan 3 akan menjalani pembelajaran di rumah (HBL) manakala giliran murid Darjah 3, 4 dan 5 untuk kembali ke sekolah.

Kohort yang akan menduduki peperiksaan nasional akan terus bersekolah setiap hari seperti biasa.

Murid Darjah 1 dan 2 madrasah itu akan melakukan HBL dan hanya kembali ke sekolah mulai 29 Jun nanti untuk

"Darjah 1 dan 2 pelajar-pelajar ini berada di dalam peringkat usia yang agak rendah iaitu tujuh tahun dan lapan tahun dan kami ingin pastikan bahawa keadaan beransur pulih sepenuhnya supaya ia lebih selamat bagi pelajar-pelajar muda ini untuk datang ke sekolah.

"Kami telah mengambil keputusan untuk terus membenarkan mereka meneruskan pembelajaran mereka di rumah di dalam rumah dengan penuh selesa dan selamat," jelas Cikgu Nafisah kepada BERITA.

Murid-murid Darjah 1 dan 2 itu akan menerima keperluan pembelajaran 'offline' di rumah pada hujung minggu ini nanti.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan