Koronavirus

Images
  • dr noor hisham abdullah msia covid-19
    (Gambar: BERNAMA)

M'sia lapor 1,070 kes baru COVID-19; 7 korban jiwa

KUALA LUMPUR: Kes baru COVID-19 di Malaysia mencatatkan penurunan dalam tempoh 24 jam lalu, dengan 1,070 kes berbanding 1,349 semalam, selain tujuh kematian dilaporkan hari ini (5 Apr).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaru itu menjadikan kes terkumpul positif COVID-19 di negara ini berjumlah 352,029 dengan kes aktif sebanyak 14,278.

Beliau berkata daripada jumlah kes baru itu, sembilan adalah kes import manakala 1,061 kes melibatkan penularan dalam negara.

"Kes import melibatkan lima bukan warga dan empat warga Malaysia, manakala kes tempatan pula membabitkan 904 warga dan 157 bukan warga.

"Kes sembuh harian pula mencatat 1,294 kes, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh setakat hari ini sebanyak 336,456 kes," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 180 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 89 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Kesemua kematian yang dilaporkan melibatkan warga, yang membawa kepada jumlah kumulatif sebanyak 1,295 kematian," katanya.

Beliau berkata Selangor melaporkan kes harian baru tertinggi dengan sebanyak 327 kes, diikuti Sarawak 225 kes dan Pulau Pinang 133 kes.

Mengenai kluster baru, beliau berkata enam kluster dikesan hari ini dengan lima membabitkan penularan di tempat kerja dan satu kluster melibatkan masyarakat.

Kluster baru tempat kerja yang direkodkan ialah Lorong Dua (Selangor), Taman Komersial (Selangor); Jalan Inovasi (Kuala Lumpur dan Putrajaya); Jalan Mata Kuching (Melaka); Persiaran Utama (Negeri Sembilan); manakala kluster membabitkan masyarakat ialah Bukit Sera (Kedah).

"Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini ialah 1,411 dengan 355 kluster aktif," katanya, bahawa 10 kluster diisytiharkan tamat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang tamat ialah 1,056.

Kluster yang diisytiharkan tamat itu ialah Kluster Jalan Cempedak, Kluster Jalan Haji Malek, Kluster Tapak Bina Nilam Sari, Kluster Jalan Wawasan 12, Kluster Jalan Tampoi Besi, Kluster Jalan Murni 12, Kluster Jalan Apas Empat, Kluster Jalan Telawi, Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok dan Kluster Kampung Telekong. 

- BERNAMA/NA/na

Top