Skip to main content

Iklan

Iklan

M'sia catat paras rekod 869 kes COVID-19 dan 4 lagi kematian

Jumlah kes baru COVID-19 di Malaysia melonjak kepada 869 kes hari ini (17 Okt) iaitu yang tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik itu melanda negara tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia catat paras rekod 869 kes COVID-19 dan 4 lagi kematian

Orang ramai berjalan di luar sebuah kedai di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 2 Okt 2020. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 08:47PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 08:48PM

KUALA LUMPUR: Jumlah kes baru COVID-19 di Malaysia melonjak kepada 869 kes hari ini (17 Okt) iaitu yang tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik itu melanda negara tersebut.

Empat kematian dilaporkan setakat 12.00 tengah tadi, menjadikan jumlah kematian di Malaysia akibat pandemik itu kepada 180.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan baru itu menjadikan keseluruhan kes di Malaysia kini melepasi 19,000 iaitu 19,627 kes, dengan kes aktif kebolehjangkitan meningkat kepada 6,886.

"Kes baru hari ini kesemuanya penularan dalam negara melibatkan 745 warganegara dan 124 bukan warganegara dengan negeri Sabah masih mencatat jangkitan baru tertinggi iaitu 451 kes (51.9 peratus)," kata beliau semasa satu sidang media maya yang disiarkan melalui Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sebanyak 224 kes (25.8 peratus) hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai, yang merupakan kes terasing di dalam penjara serta tidak menjangkiti masyarakat.

Sebanyak 20.3 peratus melibatkan kes-kes di Lembah Klang iaitu Selangor (159 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15 kes) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (dua kes).

Memperincikan jumlah kes di negeri lain, Dr Noor Hisham berkata Pulau Pinang mencatat 189 kes, Kedah (38), Sarawak dan Perak masing-masing empat kes, Terengganu (3), Johor (2) manakala Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing satu kes.

KKM turut mengenal pasti lima kluster baru COVID-19, menjadikan kluster aktif di Malaysia setakat ini sebanyak 81. 

Ketua Pengarah Kesihatan itu menambah terdapat 302 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah terkumpul kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 12,561.

Sehingga kini, terdapat 91 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan