Koronavirus

Images

Lebih 5,000 permohonan diterima melalui app 'CariKerja'

SINGAPURA: Lebih 5,000 permohonan kerja sudah diterima menerusi aplikasi 'CariKerja' sejak pelancarannya 11 April lalu.

Aplikasi itu dilancarkan di tengah-tengah pandemik COVID-19 bagi membantu para penduduk mencari pekerjaan dengan lebih mudah dan pantas.

Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad memberikan perkembangan usaha MENDAKI Sense itu dengan kerjasama agensi-agensi pemerintah, untuk membantu menghubungkan pencari kerja dengan syarikat yang ingin mengisi jawatan kosong.

Mata pencarian ribuan pekerja terancam ekoran wabak COVID-19.

Meskipun demikian masih terdapat permintaan bagi pekerja dalam sektor-sektor pilihan.

Itulah tujuan aplikasi 'CariKerja' menurut MENDAKI SENSE - untuk menghubungkan pencari kerja dengan syarikat yang ingin mengisi jawatan kosong.

Pengguna juga boleh menyertai pesta kerjaya secara maya yang dikendalikan MENDAKI SENSE selain mendapatkan bimbingan kerjaya dari penasihat kerjaya.

"Kami telah kendalikan dua Pesta Kerjaya Maya yang baru saja berakhir pada bulan April. Jumlah yang mendaftar untuk pekerjaan lebih daripada 2,400 dan di antara mereka 90% telah menerima bimbingan kerjaya daripada kami dan 80% telah kami salurkan kepada syarikat-syarikat yang ikut serta," kata Pengurus Jabatan MENDAKI SENSE Sufiya Salim.

Sebanyak 25 majikan menyertai pesta kerjaya MENDAKI SENSE yang lalu dan ia menjangkakan jumlahnya meningkat dalam acara hujung bulan ini.

"Kami akan mengendalikan Pesta Kerjaya Maya pada 27 Mei hingga 2 Jun. Buat masa sekarang kami akan adakan 'Virtual Career Fair' sebulan sekali. Kami juga melihat peningkatan dari segi permintaan dalam sektor-sektor penting seperti perubatan, pengangkutan dan sebagainya," kata Cik Sufiya lagi.

Encik Zaqy Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI mengalu-alukan perkembangan ini sebagai satu trend positif dan menggalak lebih ramai pekerja yang terjejas COVID-19 supaya memanfaatkannya.

Beliau juga menggesa pekerja supaya terbuka untuk mencuba kerjaya baru menerusi Program Pertukaran Kerjaya (PCP).

"Walaupun keadaan hari ini memang lebih sempit, lebih saya rasa mencabar, saya berharap supaya masyarakat terus bekerjasama, berkolaborasi dengan MENDAKI dan juga badan-badan Melayu/Islam kita yang sedang terus berkhidmat supaya masyarakat kita dapat terus keluar daripada masalah COVID-19 ini dengan lebih kukuh," kata Encik Zaqy.

Aplikasi 'CariKerja' boleh dimuat turun dari Apple App Store dan Google Play secara percuma. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/IZ/ha

Top