Koronavirus

Images

Lebih 250 kakitangan PPIS dapat 'hadiah' cecair basmi kuman

SINGAPURA: Lebih 250 kakitangan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menerima cecair pembasmi kuman atau 'sanitiser' yang disediakan sendiri oleh rakan-rakan seperjuangan mereka yang bertugas di ibu pejabat.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha memupuk sikap saling menjaga antara satu sama lain sedang mereka menjalankan tugas barisan hadapan di tengah-tengah penularan COVID-19.

Sekitar 15 kakitangan di ibu pejabat PPIS, yang terletak di Blk 1 Eunos Crescent, berganding bahu hari ini (2 Mac) untuk menyiapkan lebih 250 botol cecair tersebut. Ini termasuk CEO PPIS sendiri, Tuminah Sapawi.


Kira-kira 20 liter cecair pembasmi kuman dituangkan ke dalam botol-botol kecil, sebelum ditampal pelekat dengan hashtag #OnePPISCares.

Ia adalah etos pertubuhan itu untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan kakitangan sekaligus mempermudahkan mereka menyediakan khidmat terbaik buat klien badan tersebut.


"Objektifnya ialah menerusi pengagihan botol-botol cecair ini, kami di ibu pejabat dapat terus mengukuhkan lagi hubungan dengan rakan-rakan lain di pusat-pusat lain," Pengarah Perhubungan Korporat & Pembangunan Sumber, Farid Hamzah memberitahu BERITAmediacorp.


Botol-botol itu kemudian dihadiahkan - seorang satu - kepada kakitangan di semua 16 pusat kendalian PPIS.

Kakitangan PPIS adalah antara petugas-petugas barisan hadapan yang sering berurusan dengan klien dari pelbagai latar belakang, termasuk kanak-kanak.


Oleh itu, cecair pembasmi kuman ini bukan sahaja mudah di bawa ke mana-mana, malah ia menjadi simbol semangat perpaduan dan dorongan antara rakan-rakan sekerja untuk terus bertugas di samping melindungi diri daripada virus.


Usaha ini juga diharap dapat mewujudkan masyarakat prihatin dan lingkaran kebaikan dalam kalangan masyarakat untuk terus melakukan kebaikan dan saling bantu-membantu.

PPIS juga sedang menimbangkan untuk meneruskan agihan ini kepada pertubuhan-pertubuhan lain pada masa akan datang.

"Sekiranya isu COVID-19 ini berlarutan untuk beberapa bulan akan datang, mungkin juga kami akan hasilkan lebih banyak botol-botol lebih kecil begini untuk diagihkan kepada pertubuhan-pertubuhan lain di mana kakitangan pertubuhan tersebut berada di barisan hadapan," tambah Encik Farid. 

- BERITAmediacorp/nk

Top