Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lebah dilatih kesan jangkitan COVID-19

Para penyelidik di Belanda sudah melatih lebah untuk mengenal pasti sampel jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebah dilatih kesan jangkitan COVID-19

(Gambar: Lisi Niesner/Reuters)

Diterbitkan : 22 May 2021 12:14AM Dikemas Kini : 22 May 2021 12:28AM

BELANDA: Para penyelidik di Belanda sudah melatih lebah untuk mengenal pasti sampel jangkitan COVID-19.

Ini menurut mereka dapat mengurangkan waktu menunggu bagi keputusan ujian kepada hanya beberapa saat sahaja!

Lebah diketahui sebagai serangga yang mempunyai deria bau yang luar biasa.

Untuk melatih lebah-lebah tersebut, saintis di makmal kajian bioveterinari di Universiti Wageningen memberi air bergula sebagai ganjaran selepas menunjukkan sampel jangkitan COVID-19.

Lebah-lebah itu bagaimanapun tidak akan diberikan ganjaran tersebut selepas ditunjukkan sampel bukan jangkitan COVID-19.

Apabila ia sudah terbiasa dengan sistem itu, lebah-lebah tersebut secara spontan menggunakan belalainya untuk menerima ganjaran sebaik sahaja ia ditunjukkan sampel jangkitan, menurut Wim van der Poel, seorang profesor virologi yang juga sebahagian daripada pasukan kajian tersebut.

"Kami mengumpulkan lebah-lebah biasa daripada penjaga lebah dan kami meletakkannya ke dalam sarang lebah," kata beliau.

"Sebaik sahaja ditunjukkan sampel positif kami juga memberikan air bergula kepada lebah. Dan apa yang dilakukan oleh lebah-lebah itu adalah menjangkaukan probosis atau belalainya untuk mengambil air bergula itu."

Perbuatan itu mengesahkan keputusan ujian positif, menurut para pengkaji.

Lazimnya, untuk mendapatkan keputusan ujian COVID-19 boleh mengambil masa beberapa jam atau beberapa hari. Namun, respons daripada lebah adalah serta-merta.

Kaedah itu juga lebih murah dan mungkin berguna bagi negara-negara yang sukar mendapatkan kit ujian, tambah para pengkaji itu.

Sekalipun demikian, Dirk de Graaf, profesor yang mengkaji lebah di Universiti Ghent di Belgium, berkata beliau tidak menjangkakan kaedah itu digunakan sebagai ganti kepada ujian-ujian konvensional dalam tempoh terdekat.

"Ia idea yang baik tetapi saya lebih memilih untuk menjalankan ujian menggunakan peralatan diagnostik sedia ada berbanding lebah. Saya sangat menyayangi lebah tetapi saya akan gunakannya bagi tujuan-tujuan lain dan bukan mengesan COVID-19," kata beliau.

Kaedah "hidu guna serangga" itu diuji secara berkesan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat untuk mengesan bahan letupan dan racun pada tahun-tahun 1990-an, menurut Profesor De Graaf.

Rama-rama, lebah dan penyengat digunakan "bagi tujuan mengesan bahan letupan serta diagnosis perubatan", kata beliau.

Namun, tidak banyak yang diketahui tentang ujian Wageningen itu untuk menentukan tahap keberkesanannya, kata beliau lagi, meskipun beliau bersikap terbuka kepada idea menggunakan lebah untuk menguji sama ada terdapat penyakit apabila tiada ujian PCR. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan