Skip to main content

Iklan

Iklan

Larangan rentas negeri, kenapa masih berdegil?

Peringatan demi peringatan dikeluarkan oleh pihak berkuasa supaya tiada pergerakan rentas negeri dilakukan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Larangan rentas negeri, kenapa masih berdegil?

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 21 May 2020 09:31AM Dikemas Kini : 21 May 2020 09:36AM

KUALA LUMPUR: Peringatan demi peringatan dikeluarkan oleh pihak berkuasa supaya tiada pergerakan rentas negeri dilakukan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Namun, masih ramai yang tidak mengendahkan peringatan berkenaan dengan mencipta pelbagai alasan untuk pulang ke kampung terutama menjelang sambutan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Berdasarkan statistik pada Selasa (19 Mei), sebanyak 3,212 kenderaan yang cuba merentas negeri dengan alasan mahu pulang ke kampung, diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan kecuali disebabkan hal kecemasan atau kerja, dan ia perlu mendapat kebenaran PDRM.

Tidak dinafikan memang sukar bagi individu bujang yang berada di bandar menyambut Hari Raya tanpa keluarga, begitu juga ibu bapa di kampung terpaksa menyambut lebaran tanpa anak-anak dan cucu seperti kebiasaannya.

Namun, pengorbanan perlu dilakukan supaya negara bebas daripada pandemik COVID-19 yang sehingga kini belum mempunyai vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan kebimbangan akan berlaku penularan baru sekali gus menyebabkan kes COVID-19 meningkat selepas sambutan Aidilfitri sekiranya orang ramai tidak patuh terhadap larangan pergerakan rentas negeri.

"Kalau boleh jangan balik kampung, duduk di rumah dan sambut Aidilfitri secara tertutup serta elak aktiviti kunjung-mengunjung," katanya.

Kes seorang wanita mengandung yang dikesan positif COVID-19 selepas melakukan pergerakan dari Zon Merah di Ampang ke kampungnya di Kelantan dalam Zon Hijau, wajar dijadikan iktibar oleh semua supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Dr Noor Hisham berkata pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sedang giat menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat kes berkenaan.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan