Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah bantu firma terjejas mesti ambil kira perbezaan antara COVID-19 dengan SARS, kata Chan Chun Sing

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata "setiap krisis  berbeza" dan langkah-langkah sokongan Pemerintah perlu mengambil kira perbezaan itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Feb 2020 08:36AM Dikemas Kini : 15 Feb 2020 09:50PM

SINGAPURA: Wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 boleh menjadi sebagai panduan untuk apa yang boleh dilakukan oleh perniagaan yang terjejas oleh virus korona COVID-19, namun Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata "setiap krisis berbeza" dan langkah-langkah sokongan Pemerintah perlu mengambil kira perbezaan itu.

Beliau menarik perhatian bahawa sepanjang hampir 20 tahun lalu selepas SARS, hasil dalam negeri kasar (GDP) China sudah melonjak tiga kali ganda manakala sumbangannya kepada GDP dunia pula meningkat seganda.

Ekonomi China juga mempunyai kaitan yang "amat berbeza" dengan dunia sekarang.

"Pada 2003, anda mungkin tidak melihat China begitu terlibat dalam pengeluaran produk berteknologi tinggi sebagai sebahagian daripada rangkaian bekalan sejagat dan rangkaian nilai sejagat. Namun, hari ini, anda mendapati ia dilakukan dengan lebih banyak lagi," Encik Chan memberitahu para wartawan pada Jumaat (14 Feb) dalam satu mesyuarat tertutup bersama 25 anggota Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

"Jadi misalnya, jika kilang Foxconn di China menghentikan pengeluarannya, ia akan menjejas seluruh rangkaian bekalan sejagat bagi kebanyakan telefon bijak di merata dunia."

Perubahan itu bererti bahawa Singapura perlu menilai kesan terhadap ekonominya dalam dua aspek, tambah menteri tersebut.

Satu adalah kesan langsung, memandangkan jumlah perdagangan antara Singapura dengan China sudah meningkat sejak 17 tahun lalu.

Singapura juga perlu mengawasi kesan tidak langsung berdasarkan hubungan lebih rapat dan kian berubah-ubah antara China dengan ekonomi sejagat.

Sebagai contoh, sektor pengilangan tempatan mungkin "lebih terjejas" kali ini memandangkan China kini lebih terlibat dalam banyak kegiatan hasil pengeluaran yang berteknologi tinggi, hurai Encik Chan.

Sementara itu, beliau juga menjelaskan bagaimana ekonomi Singapura sudah berkembang menjadi lebih pelbagai sekarang berbanding pada 2003.
Pada 2003, Pemerintah mengeluarkan pakej bantuan bernilai S$230 juta yang termasuk rebat cukai hartanah bagi kedai, restoran dan hotel, pinjaman modal kerja bagi syarikat kecil dan sederhana (SME) serta levi pekerja asing untuk sesetengah kakitangan hotel.

Sejauh ini bagi wabak COVID-19, terdapat beberapa langkah tertumpu bagi sektor-sektor yang menghadapi tekanan secara serta-merta.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan ia akan mengecualikan yuran bagi hotel, ejen pelancongan dan pemandu pelancong manakala pakej S$77 juta diumumkan pada Khamis (13 Feb) untuk membantu para pemandu teksi dan kereta sewa privet. Lebih banyak sokongan dijangka diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Negara pada 18 Februari.

PERNIAGAAN PRIHATIN TERHADAP KESAN 'TERUK'

Di acara berasingan pada Jumaat, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi amaran bahawa wabak yang menular sekarang akan mempunyai kesan ketara ke atas ekonomi tempatan bagi tempoh selama beberapi suku seterusnya.

Para pemimpin perniagaan yang hadir di mesyuarat SBF itu berkata kemerosotan ekonomi sejauh ini adalah "teruk". Sebilangan daripada mereka menyuarakan keprihatinan terhadap aliran tunai, gangguan pada rangkaian bekalan dan kekangan tenaga kerja.

Selain daripada pelancongan, pengerusi SBF Teo Siong Seng berkata mereka yang bertugas dalam sektor makanan dan minuman (F&B) juga sudah menyaksikan perniagaan mereka meleset sebanyak 50 peratus. Dengan pendapatan mereka yang merosot, beberapa syarikat terpaksa memberikan para pekerja cuti tanpa gaji.

Singapura sedang bersiap sedia untuk mengharungi kemelesetan ekonomi di tengah-tengah penularan virus korona baru yang kini dipanggil COVID-19.

Menjangkaui sektor berkaitan pelancongan, beberapa ahli ekonomi turut menasihati tentang kesan terhadap sektor pengilangan.

"China juga adalah pasaran eksport domestik bukan minyak Singapura yang terbesar, menyumbang 17.3 peratus kepada hasil keseluruhan pada 2019.

Menteri Chan berkata beliau sedar akan semua keprihatinan yang dibangkitkan dalam kalangan pengilang. Namun beliau juga berkata wabak virus itu turut "menekankan betapa pentingnya untuk mempelbagaikan ekonomi" sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan rangkaian bekalan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan