Skip to main content

Iklan

Iklan

Langgar peraturan COVID-19: 3 pusat hiburan malam dibatalkan lesen makanan; 18 cawangan F&B diarah tutup

Walaupun muncul kelompok COVID-19 membabitkan  KTV, tiga bekas tempat hiburan malam yang bertukar operasi kepada makanan dan minuman (F&B) dibatalkan lesen makanan mereka setelah  pemeriksaan penguatkuasaan sepanjang seminggu lalu oleh pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Langgar peraturan COVID-19: 3 pusat hiburan malam dibatalkan lesen makanan; 18 cawangan F&B diarah tutup

Lesen makanan dibatalkan bagi The Charm di 150 South Bridge Road (atas, kiri), Icon II di 35 Selegie Road (bawah, kiri) dan Frederico’s Paddles Too Pub and Cafeteria di 11 East Coast Road (kanan).

Diterbitkan : 23 Jul 2021 05:24PM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 05:25PM

SINGAPURA: Walaupun muncul kelompok COVID-19 membabitkan KTV, tiga bekas tempat hiburan malam yang bertukar operasi kepada makanan dan minuman (F&B) dibatalkan lesen makanan mereka setelah pemeriksaan penguatkuasaan sepanjang seminggu lalu oleh pihak berkuasa.

Perniagaan itu adalah The Charm di 150 South Bridge Road, Icon II di 35 Selegie Road serta Frederico’s Paddles Too Pub and Cafeteria yang terletak di 11 East Coast Road.

Kesemunya didapati melanggar langkah-langkah pengurusan selamat dan harus berhenti beroperasi serta-merta, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam satu kenyataan hari ini (23 Jul).

Tempat-tempat hiburan malam itu didapati membenarkan pelanggan bermain permainan dalam premisnya, gagal mengurangkan interaksi antara anggota kakitangan dan pelanggan serta menyediakan khidmat pelayan.

Dua daripada tiga perniagaan itu, didapati melanggar peraturan sebelum penggantungan operasi selama dua minggu yang dikenakan ke atas tempat hiburan malam dari 16 hingga 30 Julai.

Satu cawangan — Federico’s Paddles Too Pub and Cafeteria — melanggar peraturan selepas penggantungan tersebut dilaksanakan.

“Perniagaan hiburan malam yang beralih operasi mesti mematuhi dengan tegas penggantungan wajib dua minggu yang masih dilaksanakan," menurut MSE.

Perniagaan itu tidak dibenarkan menyambung semula operasi selepas tempoh penggantungan sehinga ia lulus pemeriksaan dan menerima surat kelulusan bertulis daripada Agensi Makanan Singapura (SFA).

“Tempoh penggantungan bertujuan memastikan masyarakat kita selamat dengan memberikan masa bagi semua pekerja di perniagaan hiburan malam yang beralih operasi untuk menjalani ujian dan bagi agensi penguatkuasaan untuk menjalankan pemeriksaan bagi memastikan bahawa protokol (pengurusan selamat) dilaksanakan," jelas MSE.

“Mana-mana perniagaan hiburan malam yang beralih operasi yang didapati beroperasi semasa tempoh penggantungan wajib akan menghadapi tindakan penguatkuasaan tegas termasuk pendakwaan serta pembatalan tetap lesen bagi makanan, hiburan awam dan minuman keras.

CAWANGAN F&B DIDENDA, DIARAH TUTUP

Secara berasingan, 18 cawangan F&B diarah tutup kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat.

Ini termasuk The Penny Black di Boat Quay, cawangan KFC di Far East Plaza dan Restoran East Ocean Teochew yang terletak di Ngee Ann City.

Kesemua cawangan F&B itu gagal untuk memastikan pelanggan di setiap meja berbeza duduk pada jarak sekurang-kurangnya 1 meter, membenarkan pelanggan dalam kumpulan melebihi saiz yang dibenarkan untuk duduk makan semeja serta membenarkan kumpulan yang bukan daripada isi rumah yang sama untuk duduk rentas beberapa meja.

Empat perniagaan lain masing-masing didenda antara S$1,000 hingga S$2,000 kerana gagal mematuhi peraturan, menurut MSE.

Selain itu, lapan individu juga didenda S$300 setiap seorang kerana berhimpun dalam kumpulan lebih besar daripada saiz kumpulan yang dibenarkan tatkala duduk makan di pelbagai cawangan F&B.

LANGGAR PERATURAN DI TAMAN & PANTAI

Sementara itu, seramai 79 orang juga didenda kerana melanggar langkah pengurusan selamat dari 17 hingga 20 Julai di taman dan pantai yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

Mereka didapati tidak memakai pelitup apabila melakukan senaman berat dan berhimpun dalam kumpulan melebihi had yang dibenarkan.

Lagi 1,5000 nasihat dikeluarkan kepada mereka yang tidak memakai pelitup atau berhimpun dalam kumpulan melebihi had yang dibenarkan.

Dalam satu kes seumpama itu, sekumpulan 15 orang ditemui berhimpun di Taman Pantai Changi. NParks akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya terhadap mereka.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan