Virus Korona

Images
  • princess diamond
    Kapal pesiaran Diamond Princess di Yokohama, Jepun. (Gambar: Kim Kyung-hoon/Reuters)

Lagi 44 kes COVID-19 disahkan atas kapal Diamond Princess

TOKYO: Lagi 44 orang yang berada di atas sebuah kapal pesiaran yang berlabuh di perairan Jepun diuji positif bagi penyakit virus korona baru COVID-19, kata menteri kesihatan negara itu pada Khamis (13 Feb).

43 daripada mereka adalah penumpang manakala seorang lagi merupakan anak kapal.

Menteri Kesihatan Jepun Katsunobu Kato berkata 44 kes baru itu adalah antara 221 kes yang baru diuji. Jumlah kes jangkitan yang dikesan atas kapal pesiaran Diamond Princess kini meningkat kepada 218, selain seorang pegawai kuarantin yang juga diuji positif virus itu.

Encik Kato berkata pihak berkuasa kini mahu membawa keluar warga tua yang diuji negatif virus itu dari kapal tersebut dan menempatkan mereka di tempat-tempat penginapan yang dikhaskan oleh kerajaannya.

"Kami mahu memulakan operasi itu esok atau pada hari kemudiannya," kata Encik Kato kepada para wartawan.

Kapal pesiaran Diamond Princess sudah berlabuh di luar pesisir Jepun sejak 3 Februari setelah seorang bekas penumpang yang turun daripada kapal itu di Hong Kong pada bulan lalu, diuji positif bagi virus itu yang kini dinamakan COVID-19.

Kapal itu dikuarantin sejurus kemudian dan pihak berkuasa meminta para penumpang dan anak kapal supaya terus berada di atas kapal itu sehingga 19 Februari.

Mereka yang telah diuji positif bagi virus itu akan dibawa ke pusat-pusat perubatan.

Bagaimanpun, timbul tanda tanya sama ada proses kuaratin di kapal itu berjalan lancar memandangkan berpuluh-puluh kes baru didiagnos hampir setiap hari. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- AFP/AI/ai

Top