Lagi 3 negara dimasukkan ke senarai dilarang ke Britain
Para pelawat dari lebih banyak negara akan dilarang memasuki Britain mulai pukul 9.00 malam ini waktu Singapura (29 Jan).
LONDON: Para pelawat dari lebih banyak negara akan dilarang memasuki Britain mulai pukul 9.00 malam ini waktu Singapura (29 Jan).
Britain mengetatkan lagi sekatan itu bagi mencegah penularan jenis baru virus COVID-19 yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.
Tiga negara baru yang dimasukkan dalam senarai larangan Britain itu ialah Amiriah Arab Bersatu serta dua negara Afrika - Burundi dan Rwanda.
Kesemuanya 33 negara kini berada dalam "senarai merah" Britain itu, kebanyakannya di Afrika dan Amerika Selatan.
Semua orang yang pernah berada atau singgah di negara-negara itu tidak akan dibenarkan masuk ke Britain. Pengecualian diberikan kepada rakyat Britain, Ireland dan negara ketiga yang mempunyai hak menetap di Britain.
Sungguhpun begitu, mereka perlu menjalani kuarantin 10 hari di rumah masing-masing.
Semua penumpang pesawat yang dibenarkan masuk ke Britain pula perlu menunjukkan bukti tidak dijangkiti COVID-19.
Selain itu sebelum tiba di Britain, mereka perlu mengisi borang agar boleh dijejaki. Jika tidak mereka akan didenda.
Setakat ini, Britain mengesahkan lebih 3.7 juta kes COVID-19, iaitu yang tertinggi di Eropah. Lebih 103,000 pesakitnya sudah meninggal dunia.
Salah satu jenis baru virus COVID-19 juga pertama kali dikesan di Britain dan ia lebih mudah berjangkit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.