Koronavirus

Images

Kumpulan bertindak urusan kes COVID-19 sedang buat yang terbaik tingkatkan operasi: PM Lee

SINGAPURA: Sedang jumlah kes COVID-19 terus bertambah, kumpulan bertindak bagi pengurusan kes COVID-19 (CMTG) Kementerian Kesihatan (MOH) sedang melakukan "yang terbaik untuk meningkatkan" operasi dan memastikan semua pesakit dijaga dengan baik, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (22 Sep).

Dalam satu catatan Facebook, PM Lee berkata beliau melawat pejabat operasi kumpulan bertindak itu pada Selasa (21 Sep).

Kumpulan bertindak tersebut mengendalikan "seluruh proses bagi pesakit COVID-19 dari pengesanan ke pemulihan", kata beliau.

"Ini termasuk meletakkan pesakit di kemudahan jagaan yang wajar, mengaturkan pengangkutan dan memberi taklimat kepada mereka mengenai apa yang perlu mereka lakukan terutama bagi mereka yang memilih untuk menjalani pemulihan di rumah," tambah PM Lee.

Sejak 15 September, pesakit berusia 12 hingga 50 tahun yang lengkap divaksin boleh menjalani pemulihan di rumah sekiranya mereka memenuhi kriteria. Pada 19 September, skim itu diluaskan untuk meliputi pesakit COVID-19 berumur sehingga 69 tahun.

"Kami kini menggalak pesakit yang sudah divaksin sepenuhnya untuk menjalani pemulihan di rumah seberapa boleh," kata PM Lee.

"Ini mengurangkan gangguan bagi mereka terutama jika simptom mereka ringan. Ia juga akan mengurangkan permintaan bagi katil hospital agar pesakit yang mengalami sakit teruk boleh mendapatkan rawatan yang diperlukan.

"Saya tahu ini adalah masa-masa yang menimbulkan tekanan bagi mereka dengan anggota keluarga yang dijangkiti COVID-19. Sebilangan daripada anda menulis kepada saya untuk meluahkan kekecewaan anda atau bertanya mengapa MOH mengambil masa yang sangat lama untuk berhubungan (dengan anda) selepas anda atau orang tersayang diuji positif."

PM Lee berkata kumpulan bertindak itu mempunyai "tugasan yang amat memerlukan masa dan tenaga", beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, dalam "keadaan yang pesat berubah".

"Saya ingin berterima kasih kepada CMTG atas dedikasi dan usaha mereka yang tidak mengenal erti lelah," ungkap PM Lee.

"Jika kita semua bekerjasama, dapatkan vaksinasi dan memakai pelitup kita dengan betul, kita boleh memperlahankan gelombang semasa (COVID-19) serta menjalani kehidupan seharian secara selamat tanpa membebankan hospital kita atau mengalami korban jiwa yang tidak perlu." 

- CNA/FZ/fz

Top