Koronavirus

Images
  • South Korea Covid
    Petugas perubatan di Daegu, Korea Selatan. (Gambar: REUTERS/Kim Kyung-hoon)

Korea Selatan lapor kes baru harian tertinggi COVID-19 dalam 3 bulan

SEOUL: Korea Selatan hari ini (7 Apr) melaporkan 688 kes baru COVID-19 pada Selasa (6 Apr).

Itu adalah jumlah harian tertinggi sejak 8 Januari di tengah-tengah kenaikan jangkitan kelompok, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Jumlah kes baru itu menjadikan keseluruhan jangkitan di negara itu naik kepada 106,898, dengan 1,756 kes kematian - yang terbaru berpusat di sekitar kelompok di tadika, sauna, kelab-kelab minuman arak dan gereja.

Lebih 63 peratus kes baru dikesan di Seoul dan kawasan-kawasan kejiranan, termasuk wilayah Gyeonggi, menurut data KDCA.

Menurut pihak berkuasa, mereka akan meluaskan usaha menjalankan ujian untuk menjejak penularan di merata negara menerusi tinjauan epidemiologi dan ujian awal.

"Jika gelombang keempat COVID-19 menjadi kenyataan, kempen vaksinasi yang terjejas tidak dapat dielakkan, serta ia satu tamparan kepada ekonomi kita," kata Perdana Menteri Chung Sye-kyun dalam mesyuarat pemerintah hari ini.

"Pemerintah sedang memperhebat usaha untuk mencegah gelombang keempat dengan mengusahakan semua cara yang boleh," kata beliau.

Negara itu sejauh ini sudah memberikan lebih sejuta dos vaksin kepada para petugas perubatan dan kumpulan-kumpulan berisiko sejak kempen vaksinasinya dimulakan pada bulan Februari.

Namun, ia berdepan dengan tindak balas rakyat kerana bergantung kepada program perkongsian vaksin global COVAX, yang berdepan kelengahan.

- Reuters/NK/nk

Top