Skip to main content

Iklan

Iklan

Kes teruk petanda lebih penting keadaan COVID-19 berbanding kadar peningkatan jangkitan, jelas pakar

Kadar peningkatan jangkitan yang jatuh ke paras bawah 1 akan menunjukkan bahawa jumlah kes mingguan COVID-19 merosot tetapi jumlah pesakit yang mengalami  jangkitan teruk adalah lebih penting, kata pakar. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kes teruk petanda lebih penting keadaan COVID-19 berbanding kadar peningkatan jangkitan, jelas pakar

Gambar fail jabatan kecemasan di Hospital Tan Tock Seng.

Diterbitkan : 28 Oct 2021 10:16AM Dikemas Kini : 28 Oct 2021 10:19AM

SINGAPURA: Kadar peningkatan jangkitan yang jatuh ke paras bawah 1 akan menunjukkan bahawa jumlah kes mingguan COVID-19 merosot tetapi jumlah pesakit yang mengalami jangkitan teruk adalah lebih penting, kata pakar.

“Jika nisbah mingguan itu turun ke paras bawah 1 buat tempoh masa yang berterusan, ini bermakna epidemik sedang mengecut, sekurang-kurangnya dari segi kes didiagnosis," kata Dr Alex Cook, pakar pemodelan penyakit di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Namun, beliau memberi amaran ini mungkin disebabkan usaha mengesan kontak yang dikurangkan selain peraturan pengasingan diri dan kuarantin lebih ketat.

“Penting sekali untuk tidak terlalu gembira seandainya nisbah itu jatuh ke paras bawah 1 melainkan jumlah kes teruk juga merosot," ujar Dr Cook, yang juga seorang profesor madya dan naib dekan kajian di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS.

“Kita seharusnya... tidak menggunakan kemerosotan nisbah mingguan ke paras bawah 1 sebagai petanda bahawa kita boleh mula melonggarkan sekatan. Sebaliknya, kita harus melihat pada set metriks lebih luas, khususnya, penggunaan jagaan kesihatan akibat COVID-19."

Pengerusi bersama pasukan bertindak COVID-19, Lawrence Wong, berkata di satu sidang meda pada Sabtu lalu (23 Okt) bahawa jika kadar peningkatan jangkitan - merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya - jatuh ke paras bawah 1, Pemerintah akan membuat beberapa pelonggaran tersusun ke atas sekatan yang dilaksanakan.

Ini termasuk membenarkan anggota keluarga yang duduk serumah untuk makan di cawangan F&B dalam kumpulan sehingga lima orang. Sukan berpasukan juga boleh disambung semula dalam kumpulan sehingga lima orang. Selain itu, lebih banyak kegiatan di sekolah dan institusi pengajian tinggi juga akan dibenarkan.

Ini dengan syarat, "keadaan di hospital dan ICU kekal stabil", kata Encik Wong.

Setakat Rabu (27 Okt), kadar peningkatan jangkitan mingguan di Singapura adalah 1.15.

PENTING PANTAU KES TERUK

Pakar penyakit berjangkit di Hospital Mount Elizabeth Novena, Leong Hoe Nam, berkata jumlah kes yang memerlukan jagaan rapi serta bantuan oksigen adalah satu petanda penting.

“Dua keperluan itu membebankan sistem jagaan kesihatan," kata Dr Leong. Beliau menerangkan seorang pesakit di unit jagaan rapi (ICU) biasanya dimasukkan ke hospital selama "dua minggu" dan memerlukan masa lebih lama untuk sembuh.

Sehingga tengah hari Rabu, terdapat 1,777 kes COVID-19 yang dirawat di hospital. Ini termasuk 308 kes yang memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 76 kes yang tidak stabil dan di bawah pemantauan rapi di ICU serta 66 yang sakit tenat dan memerlukan alat bantuan pernafasan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Kadar penggunaan ICU secara keseluruhan buat masa ini adalah 79.8 peratus, menurut MOH. Tambahnya, ia kini dalam proses menyediakan lebih banyak katil ICU.

Dr Leong memberi amaran bahawa jumlah mingguan kes mungkin tidak merangkumi kes yang tidak dikesan.

Profesor Dale Fisher berkata "halangan utama" untuk membuka semula ekonomi dengan lebih pantas adalah ancaman terhadap sistem jagaan kesihatan.

“Inilah yang paling penting dan kadar jangkitan mingguan warga emas serta individu tidak divaksin adalah peluang untuk melihat keperluan bagi kemasukan ke hospital pada masa hadapan," kata perunding kanan di jabatan penyakit berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH) itu.

Beliau berkata kadar peningkatan jangkitan, yang "sekadar" membandingkan jumlah kes didiagnosis dengan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) minggu ini dengan minggu sebelumnya, bertindak sebagai satu "panduan".

“Ancaman terhadap sistem jagaan kesihatan juga terkesan oleh siapa yang dijangkiti seperti umur dan status vaksinasi mereka," jelas beliau.

PETANDA KADAR PENINGKATAN JANGKITAN

Sekalipun begitu, para pakar berkata pada sesetengah hari, nisbah mingguan mengatasi masalah lonjakan kes atau kemerosotan kes
secara mendadak.

Dr Cook menarik perhatian biasanya ada lonjakan kes pada Selasa, kebanyakannya disebabkan oleh hasil ujian PCR bagi kes COVID-19 yang menunggu sehingga hujung minggu untuk pergi ke klinik.

Dr Leong berkata satu "trend konsisten" perlu diperhatikan untuk menunjukkan bahawa jumlah kes baru sedang merosot.

Kadar itu adalah "ramalan" baik bagi hala tuju negara, kata beliau. Dr Leong menambah kesan sebuah intervensi biasanya mengambil masa empat minggu untuk dirakamkan dalam jumlah kes di ICU, "sumber terbesar dan paling berharga kita".

BILA SEKATAN BOLEH DILONGGARKAN?

Gelombang jangkitan sekarang ini akan memuncak disebabkan tahap kekebalan cukup meluas dalam kalangan penduduk, kata Dr Cook.

Selepas kes jatuh lagi daripada paras puncak itu, langkah-langkah pengurusan selamat mungkin dapat dilonggarkan walaupun, terang beliau, sesetengah sekatan mungkin dapat dilonggarkan lebih awal jika kesan relatif adalah kecil. Misalnya, sekatan ke atas sukan di tempat terbuka "mungkin tidak banyak menjejas" kadar penularan.

Sehingga itu, pendekatan Pemerintah untuk melanjutkan program dos perangsang sedang lebih ramai orang layak menerimanya, mendapatkan kaedah baru yang boleh mengurangkan risiko jangkitan teruk dan memujuk mereka yang belum divaksin untuk mendapatkan suntikan nampaknya usaha yang "munasabah"," ujarnya.

"Satu-satunya perubahan yang saya usulkan adalah mewajibkan vaksinasi, sekurang-kurangnya bagi kumpulan usia yang lebih tua, yang secara kasar akan mengurangkan separuh kesan COVID terhadap sistem jagaan kesihatan dan mengelakkan kita daripada perlu mengalihkan katil (hospital) daripada orang yang memerlukan pembedahan kepada mereka," kata Dr Cook. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan