Virus Korona

Images
  • france covid-19
    (Gambar: Reuters)

Kes global COVID-19 naik sebanyak 400,000 dalam sehari

NEW YORK: Jumlah kes jangkitan global COVID-19 meningkat sebanyak 400,000 dalam satu hari. Kini hampir 40 juta kes sudah disahkan di seluruh dunia, dengan lebih 1.1 juta kematian dicatatkan.

Eropah, yang berjaya meredakan lonjakan pertama dari segi jumlah jangkitan, muncul sebagai pusat penularan baru COVID-19 sejak beberapa minggu lalu. Ia kini melaporkan purata 140,000 kes setiap hari sepanjang beberapa minggu lalu.

Sebagai sebuah rantau, Eropah mencatatkan lebih banyak kes jangkitan harian berbanding gabungan India, Brazil dan Amerika Syarikat.

Daripada setiap 100 jangkitan yang dilaporkan di seluruh dunia, 34 datang dari negara-negara Eropah, menurut analisis Reuters.

Rantau itu kini melaporkan satu juta jangkitan baru sekitar setiap sembilan hari dan mencatatkan lebih 6.3 juta kes positif sejak pandemik bermula.

Beberapa negara Eropah termasuk Perancis mula melaksanakan sekatan-sekatan lebih ketat bagi membendung penularan lanjut virus korona baru itu.

Hampir 20 juta penduduk di sembilan bandar Perancis termasuk ibu kota Paris kini dikenakan perintah berkurung dari 9.00 malam hingga 6.00 pagi.

Belgium juga menguatkuasakan perintah berkurung sebelah malam. Semua kafe, bar dan restoran diarah tutup selama sebulan dalam usaha mengekang COVID-19. Para pekerja juga diberi arahan bekerja dari rumah seberapa boleh.

Britain pula melaksanakan langkah-langkah sekatan lebih ketat di beberapa bandar selepas tahap waspada dinaikkan ke peringkat dua.

Para penduduk di bandar-bandar terjejas dilarang mengadakan pertemuan sosial dengan anggota isi rumah lain.

Beberapa kawasan juga diarah menutup pub dan bar. 

- REUTERS/CNA/MM/fz

Top