Koronavirus

Images
  • auckland covid
    Orang ramai keluar bersenam dengan memakai pelitup semasa perintah berkurung COVID-19 di Auckland, New Zealand, pada 26 Ogos 2021. (Gambar: REUTERS)

Kes COVID-19 di New Zealand mungkin tidak kembali lagi ke sifar

WELLINGTON: New Zealand mungkin tidak akan kembali menyaksikan sifar kes COVID-19 dalam masyarakat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield hari ini (22 Sep), sedang negara itu meneruskan usahanya untuk membendung varian Delta yang amat mudah berjangkit.

New Zealand melenyapkan COVID-19 tahun lalu dan secara amnya bebas virus kecuali sebilangan kecil kes pada Februari hinggalah penularan terbaru varian Delta tercetus pada Ogos. Ini menggesa Perdana Menteri Jacinda Ardern untuk mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara.

Bandar terbesarnya, Auckland, masih di bawah perintah berkurung dengan jumlah kes kes baru dilaporkan setiap hari.

Encik Bloomfield berkata sasarannya kini adalah untuk cuba mengatasi penularan itu sementara meningkatkan kadar vaksinasi.

Perintah berkurung yang ketat dan penutupan sempadan antarabangsa pada Mac 2020 di bawah pemerintahan Cik Ardern membantu mengatasi COVID-19. Namun, pemerintah kini berdepan persoalan berhubung kelengahan dalam pelancaran vaksin.

Selepas permulaan yang jelas tertangguh, New Zealand meningkatkan usaha vaksinasinya, dengan hampir 40 peratus daripada 5.1 juta penduduknya kini lengkap divaksin.

Pihak berkuasa melaporkan 23 kes baru COVID-19 hari ini, semuanya dikesan di Auckland, sekali gus membawa jumlah terkumpul kes dalam penularan terbaru itu kepada 1,080.

Di satu sidang media COVID-19 hari ini, bagaimanapun, Menteri Respons COVID-19 Chris Hipkins berkata pemerintah belum berputus asa untuk mencapai sifar kes.  

- REUTERS/FZ/fz

Top