Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes baru COVID-19: Siasatan dijalankan sama ada berlaku pelanggaran peraturan pengurusan selamat

Singapura pada Khamis (26 Nov) melaporkan satu jangkitan tempatan COVID-19 sekali gus mengakhiri tempoh 15 hari berturut-turut tanpa kes jangkitan dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes baru COVID-19: Siasatan dijalankan sama ada berlaku pelanggaran peraturan pengurusan selamat

Orang ramai menyeberang persimpangan jalan raya di kawasan Orchard Road pada 25 Sep 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 11:42PM Dikemas Kini : 26 Nov 2020 11:43PM

SINGAPURA: Singapura pada Khamis (26 Nov) melaporkan satu jangkitan tempatan COVID-19 sekali gus mengakhiri tempoh 15 hari berturut-turut tanpa kes jangkitan dalam masyarakat.

Kes itu merupakan antara lima jangkitan baru setakat tengah hari Khamis (26 Nov), di mana empat adalah kes import, demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Satu-satunya kes jangkitan tempatan adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun yang bekerja di Master Systems Marine. Sebagai seorang jurutera perkhidmatan, tugasnya memerlukannya menaiki kapal yang berlabuh di Marina South Pier dan West Coast Pier untuk melakukan pembaikan dan penyelenggaraan sistem navigasi kapal.

"Dia lazimnya bekerja seorang diri dan tidak mempunyai sebarang interaksi dengan anak kapal kecuali bersama anak kapal yang menyelia," menurut MOH.

Pada hari yang beliau tidak bertugas di atas kapal, dia akan bertugas di pejabatnya di Vertex Building Tower B di 33 Ubi Avenue 3.

"Dia melaporkan memakai pelitup sepanjang bertugas di atas kapal dan ketika di pejabat, dan langkah jarak selamat dan pengurusan selamat dipatuhi," menurut MOH.

GARIS MASA JANGKITAN MASYARAKAT

Lelaki itu mengalami demam dan sakit tekak pada malam 23 Nov dan mendapatkan rawatan di klinik GP pada keesokan hari, di mana dia diuji bagi COVID-19.

Dia kemudian dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dengan menaiki ambulans pada keesokan hari di mana keputusan ujiannya adalah positif, menurut MOH.

"Keputusan ujian serologinya adalah negatif, menandakan bahawa ia adalah jangkitan baru," menurut MOH.

Dia tidak mempunyai hubung kait dengan kes-kes sebelumnya. MOH menyatakan lelaki itu keluar makan malam bersama 12 anggota keluarga di Seoul Garden di Tampines Mall pada 21 Nov.

"Mereka memenuhi tiga meja dan berlaku pergaulan antara kumpulan tersebut," menurut MOH.

Antara mereka yang hadir sewaktu makan malam itu adalah anak saudara perempuannya yang berusia dua tahun yang diberikan sijil perubatan bagi 20 Nov hingga 24 Nov kerana selesema. Dia diuji negatif bagi COVID-19.

"Siasatan sedang dijalankan bagi menilai jika berlaku pelanggaran peraturan pengurusan selamat."

Kesemua kontak rapat yang dikenal pasti sudah pun menjalani pengasingan dan diletakkan di bawah kuarantin. Mereka akan diuji pada permulaan dan penghujung tempoh kuarantin.

"Kami juga akan menjalankan ujian serologi terhadap anggota keluarga dan kontak keluarga bagi mengenal pasti jika mereka mungkin dijangkiti oleh mereka," menurut MOH.

KES-KES IMPORT

Dalam kalangan empat kes import hari ini, seorang merupakan pemegang permit kerja yang tiba dari Malaysia dan seorang lagi adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Nepal.

Dua lagi kes import merupakan pemegang pas tanggungan iaitu dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan lapan tahun yang tiba dari Pakistan. Mereka adalah kontak kepada kes COVID-19 sebelum ini.

Kesemua kes import baru diberikan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Secara keseluruhan, jumlah kes COVID-19 di Singapura kini sebanyak 58,195 setakat Khamis, dengan jumlah kematian adalah sebanyak 28.

13 lagi kes dibenarkan pulang daripada hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menaikkan jumlah kes yang pulih sebanyak 58,104.

43 kes masih dirawat di hospital. 20 lagi kes sedang menjalani pengasingan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan