Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama badan masyarakat, relawan semasa krisis COVID-19 disyukuri, kata Masagos

Pandemik COVID-19 yang mencengkam dunia ketika ini menyebabkan pemerintah-pemerintah seantero dunia terpaksa membuat keputusan sukar demi mengimbangi keperluan antara menyelamatkan pekerjaan dengan melindungi nyawa, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama badan masyarakat, relawan semasa krisis COVID-19 disyukuri, kata Masagos

Gambar fail Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 yang mencengkam dunia ketika ini menyebabkan pemerintah-pemerintah seantero dunia terpaksa membuat keputusan sukar demi mengimbangi keperluan antara menyelamatkan pekerjaan dengan melindungi nyawa, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Semasa berucap di Parlimen pada Isnin (4 Mei), Encik Masagos berkata beliau amat prihatin dan bersimpati dengan para peniaga makanan kecil-kecilan yang beroperasi dari rumah (HBB).

Ini kerana pesanan untuk bulan Ramadan dan Syawal pasti terjejas teruk, terutamanya dengan pesanan Ramadan yang mungkin kurang sedikit pada tahun ini disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.

Menulis di laman Facebooknya hari ini (5 Mei), Encik Masagos menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu mengurangkan semua bentuk pergerakan dan interaksi supaya virus yang boleh membawa maut itu tidak menjangkiti warga tua, keluarga dan rakan-rakan kita.

"Penyesuaian perlu dibuat, sama seperti bagaimana kita telah menyesuaikan diri untuk melalui Ramadan yang sangat berbeza tahun ini. Saya berterima kasih kepada masyarakat kita kerana memahami dan membuat penyesuaian," tulis Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Menjelaskan lanjut, Pemerintah, menurut Encik Masagos, terpaksa membuat keputusan sukar dan Singapura sudah mula melihat hasil daripada usaha setiap orang yang mematuhi peraturan lebih ketat.

Encik Masagos berkata: "Oleh kerana kita sudah mula melihat hasil dari langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan yang telah diperketat, Pemerintah telah membenarkan perniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah untuk beroperasi semula dari 12 Mei.

"Ini memberi para peniaga masa sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri, walaupun perayaan tahun ini perlukan penyesuaian juga."

SOKONGAN DIHULURKAN KEPADA INDIVIDU TERJEJAS

Di Parlimen semalam (4 Mei), Anggota Parlimen (AP) Dr Intan Azura Mokhtar dan Zainal Sapari mengetengahkan beberapa keprihatinan dan cabaran yang dihadapi para peniaga HBB.

Memberikan reaksinya di Parlimen, Encik Masagos turut memberi jaminan bahawa mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 akan diberi bantuan sambil menarik perhatian kepada pelbagai skim yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk membantu peniaga, pekerja dan keluarga yang memerlukan.

Misalnya, para peniaga HBB yang bekerja sendiri boleh mendaftar untuk Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS).

Mereka yang tidak layak untuk SIRS boleh mendaftar bagi Geran Bantuan COVID-19, yang menyasarkan para pekerja bergaji rendah yang kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji ataupun terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Encik Masagos juga mengucapkan terima kasih kepada Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kerana giat mendampingi dan menasihati para peniaga supaya memanfaatkan skim-skim bantuan pemerintah.

Menurut beliau, DPPMS sedang bekerjasama dengan para peguam M3 untuk menawarkan nasihat guaman secara percuma.

Dalam usahanya untuk membantu para peniaga HBB Melayu/Islam, DPPMS juga sedang meninjau bagaimana untuk menyokong golongan tersebut dalam jangka panjang.

PERJUANGAN MELAWAN COVID-19 BELUM BERAKHIR

Encik Masagos berkata secara purata, jumlah kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat yang dilaporkan setiap hari sudah merosot sebanyak separuh kepada 12 kes pada minggu lalu berbanding 25 kes pada minggu sebelumnya.

Walaupun Singapura semakin memperlihatkan kemajuan dalam usaha membendung COVID-19, beliau menekankan bahawa usaha memerangi virus itu belum berakhir.

Pada Sabtu (2 Mei), Encik Masagos berkata bahawa jumlah kes jangkitan dalam kalangan masyarakat tempatan kian merosot, namun langkah-langkah lebih ketat bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 mesti dikekalkan bagi tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Maka itu, beliau menggesa setiap orang supaya terus mematuhi peraturan jarak selamat dan memakai pelitup apabila berada di luar rumah.

"Sedang kami memasuki bulan kedua tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, kita harus terus berwaspada dan melindungi antara satu sama lain," tambahnya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan