Koronavirus

Images
  • pekerja CBD
    Gambar fail: AFP

Kerja dari rumah jadi aturan pilihan mulai 27 Sep hingga 24 Okt

SINGAPURA: Bekerja dari rumah akan dijadikan pilihan utama bagi para pekerja yang boleh melakukan sedemikian sedang kes COVID-19 di Singapura terus meningkat.

Demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (24 Sep).

Arahan itu, yang berkuat kuasa mulai 27 September hingga 24 Oktober, dibuat menyusuli langkah-langkah yang diperketat oleh pemerintah. Sebelum ini, maksimum 50 peratus kakitangan yang boleh bekerja di rumah dibenarkan untuk kembali ke tempat kerja pada bila-bila masa.

Sepanjang tempoh itu, "rejim kilat bekerja dari rumah selama 10 hari sekiranya kes COVID-19 dikesan di tempat kerja akan digantung, menurut MOH dalam satu kenyataan media.

"Kumpulan pekerja yang sama tidak seharusnya dikerahkan bertugas di tapak kerja yang berbeza. Perhimpunan sosial di tempat kerja juga terus tidak dibenarkan. Para majikan seharusnya terus melaksanakan waktu kerja fleksibel dan waktu mula bekerja berperingkat bagi mereka yang perlu kembali ke tempat kerja," menurut MOH.

Kementerian itu menarik perhatian para kakitangan, kontraktor dan penyedia khidmat yang tidak boleh bekerja di rumah "amat digalakkan" untuk menjalani ujian kendiri setiap minggu menggunakan ujian pantas antigen (ART) demi mengelak kakitangan yang dijangkiti daripada pergi ke tempat kerja dan memastikan tempat kerja selamat.

"Mereka yang boleh bekerja di rumah tetapi perlu kembali ke tempat kerja secara 'ad hoc' boleh melakukan sedemikian selepas diuji negatif ART sebelum pulang ke lapangan," tambah MOH.

LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT "PENTING"

MOH juga menarik perhatian langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi, pemakaian pelitup dan penjarakan selamat yang betul kekal "penting" untuk memastikan bahawa acara besar-besaran boleh diteruskan secara selamat bagi para hadirin.

Saiz acara dan had kapasiti bagi khidmat jemaah dan keagamaan lain, panggung wayang, MICE, persembahan secara langsung, acara sukan yang disaksikan penonton dikekalkan sehingga 1,000 hadirin sekiranya mereka semua lengkap divaksin.

Jika tidak, hanya sehingga 50 hadirin akan dibenarkan tanpa ujian praacara (PET).

"Kelonggaran bagi kanak-kanak bawah usia 12 tahun, yang belum layak mendapatkan suntikan vaksin, juga ditetapkan bagi acara-acara tersbut. Kanak-kanak yang belum divaksin boleh membentuk kumpulan sehingga dua orang sekiranya kanak-kanak itu adalah daripada keluarga yang sama," terang MOH.

Kementerian itu menyatakan tiada perubahan pada langkah-langkah berkaitan pernikahan. Ia terus dibenarkan dengan para hadirin duduk dalam kumpulan sehingga dua orang, sekiranya mereka semua lengkap divaksin.

Pernikahan di rumah juga terus dibenarkan, dengan sehingga 10 tetamu. Sebelum ini, sehingga 50 tetamu dibenarkan tanpa PET.

"Kami maklum bahawa pasangan yang mahu bernikah berdepan keadaan sangat tidak menentu sepanjang beberapa bulan yang lalu. Oleh itu, sebagai kelonggaran, majlis persandingan boleh diteruskan dengan sehingga 250 tetamu jika kesemuanya lengkap divaksin dan dalam kumpulan sehingga lima orang semeja," tambah MOH.

"Semua tetamu majlis persandingan itu mesti mematuhi dengan ketat langkah-langkah pengurusan selamat dan khususnya memastikan jarak selamat serta mengelak daripada berbual-bual dengan orang lain yang bukan semeja.

"Memandangkan mereka lebih mudah dijangkiti, kami juga amat menggalakkan para individu yang belum divaksin dan warga emas untuk tidak menghadiri acara-acara sedemikian kerana PET hanya mengurangkan risiko mereka menjangkiti orang lain, bukan risiko mereka sendiri dijangkiti." 

LAPORAN BERKAITAN: 

- CNA/SM/sm

Top