Skip to main content

Iklan

Iklan

Kerajaan M'sia belum buat keputusan wajibkan vaksinasi COVID-19, kata Ismail Sabri

Kerajaan Malaysia belum membuat keputusan untuk mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia belum buat keputusan wajibkan vaksinasi COVID-19, kata Ismail Sabri

Individu menerima suntikan bagi vaksin COVID-19 di Kuala Lumpur pada 12 Jul 2021 (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 04:08PM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 04:09PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia belum membuat keputusan untuk mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, beliau berkata individu yang belum mengambil suntikan vaksin COVID-19 digalakkan berbuat demikian bagi menikmati pelbagai keistimewaan termasuk melancarkan urusan untuk pulang ke kampung halaman. 

"Malah untuk urusan beribadah seperti mengerjakan umrah juga diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi, saya yakin syarat yang sama akan diberi untuk kebenaran mengerjakan haji yang dijangka bermula tahun depan. 

"Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan untuk mengambil vaksin kalau tidak, akan dikenakan tindakan.

"Mindef (Kementerian Pertahanan)... telah mengeluarkan arahan iaitu siapa (anggota tentera) yang tidak mengambil vaksin dianggap melanggar arahan Mindef. Jadi ini gambaran dia seperti wajiblah," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia akan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19.

Perdana Menteri itu berkata demikian di satu sidang media selepas meninjau Perumahan Awam Seri Perak di Kuala Lumpur hari ini (16 Okt).

Dalam pada itu, Encik Ismail Sabri berkata tindakan tegas wajar dikenakan terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu.

"Antivaksin ini mengeluarkan cerita-cerita yang tidak betul, fitnah, berita palsu dan sebagainya dan memang dalam negara kita, ada banyak undang-undang yang boleh diambil tindakan untuk penyebaran berita palsu.

"(Tindakan) bukan kerana mereka antivaksin tetapi kerana berita yang mereka sebarkan adalah berita palsu. Jadi kita boleh ambil tindakan dan kita setuju dengan apa yang KJ (Khairy Jamaluddin) cakap semalam," ungkapnya.

Semalam, Encik Khairy yang merupakan Menteri Kesihatan berkata kementeriannya sudah membuat beberapa aduan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu sehingga mengancam kesihatan awam.

Menulis dalam catatan di Twitter, Encik Khairy berharap tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan.

“Kumpulan ini (antivaksin) terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” kata beliau. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan