Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia akan bawa pulang rakyatnya di utara & barat India

Kerajaan M'sia akan bawa pulang rakyatnya di utara & barat India.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia akan bawa pulang rakyatnya di utara & barat India

Pegawai di India memeriksa pasport warga Malaysia sebelum menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia. (Gambar: AFP/Narinder Nanu)

Diterbitkan : 06 May 2021 10:31PM Dikemas Kini : 06 May 2021 10:34PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan melaksanakan misi khusus bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India sedang negara itu terus mencatat rekod baru dalam kes baru jangkitan COVID-19 dan juga kematian.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata misi yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan itu akan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia.

“Pesawat itu akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai, India dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada Kerajaan India diperolehi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada hari ini (6 Mei).

Encik Hishammuddin menegaskan keputusan itu dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi selain mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa oleh pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di India.

Rakyat Malaysia yang akan dibawa balik termasuk petugas (home based staff) pelbagai agensi serta tanggungan mereka diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dari India dan sebaik tiba di Malaysia.

“Selain itu, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Encik Hishammuddin berkata rakyat Malaysia di wilayah-wilayah utara dan barat India yang berhasrat menyertai misi itu dinasihatkan agar mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai melalui e-mel mwdelhi [at] kln.gov.my atau mwmumbai [at] kln.gov.my selewat-lewatnya pada pukul 5.00 petang 7 Mei (Jumaat) waktu India.

Beliau turut mengingatkan semua rakyat Malaysia di India khususnya di wilayah utara dan barat agar sentiasa berhubung dengan pihak suruhanjaya tinggi dan konsulat jeneral bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan misi itu atau bagi mendapatkan sebarang bantuan konsular.

Encik Hishammuddin menjelaskan, misi repatriasi itu tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah-wilayah berkenaan masih terkawal.

Tambahnya Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai akan terus memantau situasi di wilayah-wilayah berkenaan dan membuat penilaian berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di sana terus dijaga.

“Misi repatriasi ini merupakan usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa dilindungi,” katanya.

Encik Hishammuddin berkata misi yang sama pernah dilaksanakan semasa penularan pandemik COVID-19 tahun lepas melibatkan repatriasi rakyat Malaysia dari Wuhan, China, Iran dan Itali.

India mencatatkan rekod baru dunia hari ini selepas mencatat kenaikan tertinggi bilangan kes dalam sehari, iaitu lebih 412,000 dalam tempoh 24 jam.

Kementerian Kesihatan India melaporkan 412,262 kes baru, membawa jumlah jangkitan melebihi 21 juta. Bersama kematian baru rekod sebanyak 3,980, jumlah kematian kini mencapai 230,168.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan