Koronavirus

Images
  • sport
    Orang bermain tenis di Padang pada 21 Okt 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Kemudahan sukan tertutup ditutup sementara, kapasiti kelas senaman luar dikawal

SINGAPURA: Kemudahan sukan tertutup akan ditutup buat sementara dari 8 hingga 30 Mei untuk membendung penularan lanjut COVID-19 dalam masyarakat, menurut Sport Singapore (SportSG) pada Khamis (6 Mei).

Gimnasium awam dan swasta, studio senaman dan kecergasan - termasuk yang dikendalikan oleh perusahaan komersil, persatuan sukan nasional, kelab persatuan, kelab golf, apartmen privet, kondominium serta badan amal - akan ditutup.

Semua premis ini dikenal pasti sebagai "persekitaran sukan dan senaman berisiko tinggi" yang terletak dalam ruang tertutup di mana para peserta berada dekat antara satu sama lain, bersenam dan tidak memakai pelitup, jelas SportSG.

Premis-premis ini tidak seharusnya digunakan atau disewakan kepada orang lain bagi kegunaan bersenam atau sebagai kemudahan rekreasi fizikal. Bagaimanapun, ia boleh digunakan oleh jurulatih dan pembimbing untuk mengadakan kelas online.

Kemudahan sukan dan rekreasi hanya boleh membenarkan jumlah maksimum mengikut kawasan lantai kasarnya berdasarkan 10 kaki persegi setiap orang dan sehingga 50 orang.

"Tidak ada kemudahan, tanpa mengira saiz, yang boleh menerima masuk lebih 50 orang," tekan SportSG.

Kegiatan berkumpulan juga perlu dihadkan kepada kumpulan tidak melebihi lima orang berbanding lapan orang sekarang apabila Singapura memasuki Fasa 3 pembukaan semulanya pada Disember.

Jarak fizikal antara individu dan kumpulan terdiri daripada lima orang mesti dikekalkan ketika bersenam atau bersukan. Penyedia perkhidmatan tambahan seperti seorang pembimbing atau jurulatih daripada sebuah perusahaan yang dibenarkan boleh membimbing kumpulan bagi program serta kelas yang dianjurkan.

Beberapa kumpulan lima orang dibenarkan, dengan sehingga 30 orang atau had kapasiti tempat, mengikut mana-mana yang lebih rendah, jelas SportSG.

Interaksi antara kumpulan tidak dibenarkan dan kumpulan-kumpulan harus mengekalkan jarak 3 meter antara satu sama lain.
"Kompleks besar atau premis serbaguna seperti kelab persatuan boleh menganggap bahagian-bahagian yang berbeza di premisnya sebagai kemudahan yang berasingan, dengan syarat ia dipisahkan dengan baik oleh hadangan fizikal sehingga menjadikan interaksi mustahil berlaku," kata SportSG.

KELAS LUAR BERSKALA BESAR DI RUANG AWAM DIBENAR DISAMBUNG

Kelas-kelas luar berskala besar di tempat-tempat awam seperti taman dan ruang umum HDB boleh diteruskan jika diberi kebenaran.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kelas mesti dikurangkan kepada 30 orang, termasuk peserta, tenaga pengajar berdaftar dan mana-mana pembantu, serta juga tertakluk kepada had kapasiti tempat.

Langkah-langkah pengurusan selamat yang lain akan terus dilaksanakan, menurut SportSG. Ini termasuk memakai pelitup, mengelakkan perkongsian peralatan umum, mengurangkan interaksi fizikal dan memastikan jarak yang selamat.

Pemilik atau pengendali kemudahan juga harus melakukan pemeriksaan suhu badan dan memeriksa gejala yang dapat dilihat seperti batuk, bersin, sesak nafas dan selesema pada pelawat. Mereka yang demam atau kelihatan tidak sihat tidak akan dibenarkan masuk.

SafeEntry perlu dilaksanakan bagi peserta dan pelawat. Semua peserta dan anggota kakitangan perlu menggunakan sama ada aplikasi TraceTogether atau token SafeEntry mulai 17 Mei.

PENYERTAAN SUKAN BESAR-BESARAN TIDAK DIBENARKAN

Acara sukan dengan penyertaan besar-besaran tidak akan dibenarkan, tegas SportSG. Penganjur akan bekerjasama dengan SportSG untuk membatalkan atau menangguhkan acara ke kemudian hari.

Semua acara sukan lain, termasuk acara, pertandingan dan perlawanan melibatkan penonton secara langsung, akan tertakluk kepada kelulusan sebelum ia dapat diteruskan. Tiada penonton yang dibenarkan dalam acara sukan dan perlawanan.

"Persatuan sukan nasional yang menganjurkan pertandingan dan perlawanan yang berkaitan dengan kelayakan pertandingan antarabangsa untuk atlit kebangsaan, harus berurusan dengan SportSG lebih awal untuk membincangkan rancangan mereka," menurut SportSG.

SportSG menambah agensi pemerintah akan menjalankan pemeriksaan. Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) akan diambil terhadap perniagaan atau individu yang gagal mematuhi langkah pengurusan selamat. 

- CNA/FZ/fz

Top