Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kempen galak cuti dalam negeri bernilai S$45 juta dilancar, rangsang rakyat terokai S'pura

Penduduk Singapura digalakkan untuk menikmati 'Singapoliday' - iaitu bercuti dalam negeri dan meneroka semula tanah air mereka di samping menyokong perniagaan-perniagaan tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jul 2020 06:07PM Dikemas Kini : 22 Jul 2020 09:07PM

SINGAPURA: Penduduk Singapura digalakkan untuk menikmati 'Singapoliday' - iaitu bercuti dalam negeri dan meneroka semula tanah air mereka di samping menyokong perniagaan-perniagaan tempatan.

'Seruan' itu akan dilakukan menerusi kempen pemasaran bernilai S$45 juta bagi tempoh sembilan bulan mendatang oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan agensi-agensi lain.

"Kempen ini menawarkan pengalaman, promosi dan pakej-pakej unik lagi berbaloi bagi warga setempat," menurut STB, Enterprise Singapore dan Perbadanan Pembangunan Singapura (SDC) menerusi satu kenyataan media.

Masyarakat tempatan seperti penggemar makanan, jurugambar, kumpulan pencinta alam semulajadi dan warisan juga bekerjasama bagi kempen tersebut untuk membantu penduduk meneroka tempat-tempat menarik yang mungkin belum diketahui.

Kempen itu turut melancarkan kegiatan-kegiatan mengikut daerah, bermula dengan kawasan seperti Little India, Sentosa, Chinatown dan Orchard Road untuk mengajak penduduk keluar meneroka pelbagai kawasan di merata negeri.

Inisiatif tersebut dimulakan sedang jumlah kedatangan pelancong ke Singapura merudum.

Dalam bulan Mei, hanya 880 pengunjung yang datang ke negara ini, iaitu kemerosotan 99.9 peratus dari tahun ke tahun.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk merancakkan semula sektor pelancongan dalam negeri, sekitar 40 perniagaan berganding bahu menyertai kempen itu dengan menawarkan sekitar 80 promosi. Ini termasuk tawaran bagi tempat-tempat daya tarikan, lawatan berpandu dan penginapan hotel, menurut kenyataan media itu lagi.

Sebahagian daripadanya ditawarkan bersempena Hari Kebangsaan ke-55 Singapura yang jatuh pada 9 Ogos nanti.

Contohnya, terdapat potongan harga 55 peratus bagi tiket acara Changi Experience Studio dan pas menaiki kereta kabel serta promosi beli satu dapat satu percuma bagi tempat-tempat tarikan seperti Wild Wild Wet dan Madame Tussauds.

Beberapa hotel pula menawarkan pakej-pakej cuti dalam negara berserta program lawatan berpandu, sementara syarikat-syarikat akan menyesuaikan tawaran pelancongan mereka mengikut citarasa penduduk tempatan.

Sentosa juga akan menawarkan pelbagai promosi serta pakej penginapan.

Menurut STB, perincian pakej-pakej berkenaan, potongan harga serta promosi akan dimuat naik ke laman SingapoRediscovers dan aplikasi VisitSingapore.

Kempen itu direka berdasarkan kajian yang menunjukkan bahawa rakyat Singapura ada keinginan untuk meneroka "pengalaman sebenar warga setempat" yang akan membantu mereka menjalin semula hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan, kata Penolong Ketua Eksekutif Kumpulan Pemasaran STB, Lynette Pang.

Dua perkara yang menjadi pertimbangan adalah kebersihan dan keselamatan - memandangkan penularan berterusan COVID-10, dan sama ada kegiatan-kegiatan yang dianjurkan berbaloi disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), rakyat Singapura berbelanja lebih S$34 bilion semasa melancong ke luar negara, kata beliau.

"Itu cabaran bagi kami - sama ada kami dapat menyalurkan sebahagian perbelanjaan itu kepada gaya hidup, perniagaan dan sektor pelancongan dalam negeri. Oleh itu, apa yang mahu kami lakukan ialah mengingatkan penduduk supaya melihat Singapura dari kaca mata baru dan menerokanya semula," kata Cik Pang.

Ketua Eksekutif STB, Keith Tan berkata, bila digabungkan, usaha bagi kempen itu menjadikannya rangsangan pemasaran dalam negeri terbesar yang pernah dianjurkan sejauh ini.

Sekalipun demikian, beliau tidak menjangkakan perbelanjaan penduduk setempat kelak akan dapat meliputi perbelanjaan kasar sebanyak S$27.7 bilion oleh pelancong antarabangsa di Singapura yang dicatat pada tahun lalu.

"Tahun ini, kami tidak menjangkakan perbelanjaan pelancong dalam negeri dapat mengisi jurang yang disebabkan oleh hampir tiada pelancong antarabangsa," kata beliau.

"Tetapi, apa yang kami harapkan ialah untuk mengurangkan kesannya...memberi masa sebanyak mungkin kepada perniagaan-perniagaan. Jadi semua yang kami lakukan ini untuk mengurangkan kos (dan) membantu aliran tunai perniagaan (serta) menguruskan kos, mesti diambil kira...Kami cuba untuk membantu mereka menjana sebanyak mungkin pendapatan."

Pemerintah Singapura sudah memperuntukkan hampir S$100 bilion dari segi pakej bantuan dan sokongan COVID-19 untuk keluarga, pekerja dan perniagan setempat menerusi empat Belanjawan tahun ini.

"Sepanjang beberapa bulan lalu, kami sudah membantu lebih 7,000 perniagaan dalam industri pelancongan menyelamatkan pekerjaan dan mengekalkan pekerja. Bantuan gaji juga sudah diperuntukkan kepada lebih 1,600 pemandu pelancong yang kebanyakannya bekerja sendiri," kata Encik Tan.

Namun beliau menambah mungkin akan ada lebih banyak pemberhentian kerja dalam industri tersebut.

Resorts World Sentosa, salah satu majikan terbesar dalam industri pelancongan, memberhentikan kakitangannya pada minggu lalu sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kos.

"Memandangkan kesan teruk COVID-19 ke atas pelancongan antarabangsa, sukar untuk mengelak lebih banyak kehilangan pekerjaan pada bulan-bulan mendatang. Sebahagian langkah sokongan yang dibentangkan menteri sebelum ini pasti akan menjadi perlahan tetapi saya beri jaminan bahawa STB akan terus menyokong anda sedaya upaya," kata beliau kepada mereka yang terjejas dalam satu sesi dialog hari ini (22 Jul).

Menjawab pertanyaan wartawan, Encik Tan berkata STB tidak pernah menjejaki perbelanjaan penduduk Singapura di dalam negeri dan tiada sasaran jumlah perbelanjaan yang diharapkan untuk diijana oleh agensi itu menerusi kempen SingapoRediscovers.

"Tentu sekali kami harap sokongan S$45 juta yang dikeluarkan ini akan mempunnyai kesan berlipat kali ganda dan kami akan meneliti jumlahnya dalam tempoh sembilan bulan," kata beliau.

Industri pelancongan, yang menyumbang kepada empat peratus GDP Singapura, antara yang paling teruk terjejas dek pandemik COVID-19.

Meskipun tempoh 'circuit breaker' Singapura berakhir pada 2 Jun, tempat-tempat tarikan hanya dibuka semula kepada pengunjung pada bulan ini.

Sekitar 80 hotel sudah diberi kelulusan semalam (21 Jul) untuk menyambung operasi bagi percutian dalam negeri.

Encik Tan berkata lebih separuh daripada anggaran 67,000 bilik di Singapura kini sedang digunakan bagi tujuan berkaitan COVID-19.

"Pembukaan hotel bagi percutian dalam negeri perlu seimbang bagi memastikan kami mempunyai jumlah lbilik yang mencukupi sekiranya penularan jangkitan melonjak lagi," kata beliau.

"Oleh itu, kami tidak memberikan kuasa penuh untuk membuka keseluruhan industri perhotelan bagi percutian dalam negeri. Sebaliknya kami melihat keadaan, berdasarkan setiap kes."

Pihak berkuasa juga memberi amaran bahawa mungkin berlaku pusingan kedua penularan jangkitan di Singapura dan negara ini mesti bersedia menghadapinya.

Dengan lebih banyak kegiatan ekonomi serta interaksi sosial disambung semula sejak Fsa 2, Singapura boleh menjangkakan jumlah kes kembali meningkat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada minggu lalu.

Menjawab pertanyaan tentang kebimbangan berhubung kemungkinan pusingan kedua penularan jangkitan, Encik Tan berkata penularan dalam kalangan masyarakat kekal rendah buat masa ini dan STB akan mengikut panduan MOH berhubung pandemik ini.

"Meskipun kita buka semula bertahap-tahap, bukan hanya SingapoRediscovers tetapi keseluruhan ekonomi...semua agensi pemerintah yang menguatkuasakan pengurusan langkah-langkah keselamatan, termasuk STB, akan terus melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan di tahap tertinggi," tambah beliau.

Beliau juga berkata Singapura merupakan negara kelima paling dikunjungi di dunia dan ia kekal berada di kedudukan yang baik untuk pulih apabila pelancongan antarabangsa kembali rancak.

"Ini mungkin masih terlalu jauh untuk dibayangkan. Tetapi kami sudah memulakan perancangan pemasaran khusus bagi merancakkan semula pelancongan antarabangsa dan akan memulakannya apabila kami melihat harapan bahawa ia akan kembali pulih," kata beliau. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan