Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Kesihatan M'sia masih pantau 3,000 jemaah tabligh yang masih belum disaring

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih memantau lebih kurang 3,000 jemaah tabligh yang pernah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kesihatan M'sia masih pantau 3,000 jemaah tabligh yang masih belum disaring

Gambar fail para pekerja jagaan kesihatan di Malaysia membuat saringan COVID-19. (Gambar: Noor Hisham Abdullah/ Facebook

Diterbitkan : 03 Apr 2020 09:47PM Dikemas Kini : 03 Apr 2020 09:52PM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih memantau lebih kurang 3,000 jemaah tabligh yang pernah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara sebab lebih kurang 3,000 orang masih belum disaring kerana mereka yang keluar negara masih belum kembali sejak hadir himpunan itu.

"Mungkin ada yang tidak kembali lagi, mungkin ada yang keluar negara, contohnya ke Sulawesi dan India. Jemaah itu keluar 40 hari dan tidak balik lagi.

"Kami masih memantau dan kami ada rekod. Diharapkan apabila mereka kembali mereka akan disaring dan dikuarantin untuk tempoh 14 hari," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di Putrajaya pada Jumaat (3 Apr).

Dr Noor Hisham berkata peserta perhimpunan di Masjid Sri Petaling yang sudah disaring setakat ini ialah 19,032 orang dengan bilangan sampel yang sudah diambil ialah 15,970.

LEBIH 10,200 DIUJI NEGATIF

"Kes positif untuk jemaah di Masjid Sri Petaling ialah 1,465 kes manakala 10,213 kes negatif dan kes pending (masih belum selesai) ialah 4,292. Masih belum disaring lebih kurang 3,000," katanya.

Dr Noor Hisham berkata antara sebab Selangor mempunyai jumlah kes positif tertinggi adalah kerana 50 peratus daripada kes itu ada berkaitan dengan jemaah yang pernah berhimpun di Masjid Sri Petaling, dan sekarang ini telah menular dalam kalangan sekolah madrasah.

"Jadi sekarang lihat perkampungan Hulu Langat ada 300 kes positif setakat ini. Di Selangor lebih kurang 600 lebih dan separuh daripada kes itu adalah dari Hulu Langat," jelasnya.

Beliau berkata berlaku pertambahan kes di Hulu Langat hari ini dengan 300 kes daripada 287 sebelum ini, di Kampung Sungai Lui ada 90 kes yang 25 berkaitan dengan jemaah di Masjid Sri Petaling dan 65 kes kontak rapat.

Dr Noor Hisham berkata 18 kes positif COVID-19 dikesan di Menara Plaza One City setakat hari ini (3 Apr).

Justeru, beliau menyarankan penguatkuasaan komuniti di setiap kawasan perumahan untuk memastikan kebersihan setempat untuk mencegah penularan COVID-19.

"Kita boleh meningkatkan lagi (penguatkuasaan ini) dan kami juga melihat dengan teliti di kawasan hotspot. Jika terdapat peningkatan kes sama ada 10, 20 atau 40 kes dalam tempoh satu hari, itu adalah isyarat untuk kami kuatkuasakan PKP di kawasan itu yang menunjukkan berlakunya transmisi virus,” katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan