Skip to main content

Iklan

Iklan

Kementerian Kesihatan M'sia benarkan vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca bagi ibu hamil

Vaksin COVID-19 Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai diberikan kepada golongan ibu mengandung berdasarkan panduan yang dikemas kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kesihatan M'sia benarkan vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca bagi ibu hamil

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Jun 2021 03:40PM Dikemas Kini : 26 Jun 2021 03:42PM

KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai diberikan kepada golongan ibu mengandung berdasarkan panduan yang dikemas kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata Pfizer kekal disyorkan manakala AstraZeneca dan Sinovac kini juga diklasifikasikan sebagai bersesuaian.

“AstraZeneca tidak lagi dikontraindikasikan kepada kehamilan dan Sinovac pula disyorkan oleh laporan interim Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk ibu hamil dan menyusukan anak berikutan manfaatnya jauh lebih besar daripada potensi risiko yang dikaji,” katanya semasa sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini (26 Jun).

Encik Khairy berkongsi setakat ini, hampir 109,607 pendaftaran vaksin bagi golongan ibu mengandung diterima di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 11,663 dijangka bersalin (EDD) pada Ogos ini dan golongan itu diberi keutamaan.

Menurut beliau, lebih 10,000 ibu mengandung sudahpun diberi janji temu dengan nota ‘Expectant Mother’ pada janji temu mereka.

Beliau menambah kira-kira 6,000 ibu mengandung dijadualkan janji temu di PPV MITEC serta PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk menerima vaksinasi pada hujung minggu ini dan ia berlangsung di seluruh negara dengan jumlah yang berbeza.

Ibu mengandung kekal menjadi penerima vaksin COVID-19 berkeutamaan tinggi berdasarkan risiko jangkitan COVID-19 untuk kumpulan itu, ujar beliau.

Mengenai industri, Encik Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata sebanyak empat PPV industri sedang beroperasi manakala 19 lagi akan beroperasi menjelang akhir bulan ini.

Sementara itu, Encik Khairy berkata perancangan rapi sedang dibuat bagi mengelakkan kejadian kehabisan stok vaksin di PPV.

Mengakui terdapat beberapa PPV kehabisan stok vaksin, beliau berkata kadar penggunaan vaksin yang tinggi menyebabkan stok bekalan vaksin cepat habis.

“Kita ada penghantaran pada Julai, jadi perkara ini tidak akan berlaku. Kita mempunyai lebih lapan juta dos dan tujuh juta telah digunakan manakala sejuta dos dalam edaran,” katanya.

Beliau menambah seramai 99 peratus warga emas di Kuala Lumpur yang berdaftar sama ada sudahpun divaksinasi atau mendapat janji temu untuk vaksinasi manakala Selangor mencatatkan 88 peratus.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan