Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelompok TTSH: 3 pelawat Wad 9D, 1 pesakit & 1 ahli farmasi positif COVID-19

Tiga pelawat itu dikesan menerusi pemeriksaan kes yang dijalankan secara proaktif, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) lewat malam semalam.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelompok TTSH: 3 pelawat Wad 9D, 1 pesakit & 1 ahli farmasi positif COVID-19

Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 05 May 2021 10:00AM Dikemas Kini : 05 May 2021 10:06AM

SINGAPURA: Tiga pelawat Wad 9D di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), seorang pesakit dan seorang ahli farmasi membentuk lima kes baru COVID-19 yang terkait dengan kelompok jangkitan koronavirus di hospital itu pada Selasa (4 Mei).

Tiga pelawat itu dikesan menerusi pemeriksaan kes yang dijalankan secara proaktif, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) lewat malam semalam.

Hasil ujian serologi bagi kesemua lima kes belum selesai.

Kelompok TTSH kini sudah meningkat kepada 40 kes sejak seorang jururawat yang bertugas di Wad 9D pertama kali diuji positif pada 27 April.

PELAWAT WAD 9D

Salah satu kes adalah seorang wanita rakyat Singapura berusia 53 tahun yang beberapa kali mengunjungi Wad 9D antara 18 April dengan 28 April.

Beliau dihubungi oleh MOH pada malam 29 April untuk menyuruhnya mengasingkan diri dan kuarantin pada 30 April.

Beliau tidak mengalami sebarang gejala tetapi diuji bagi COVID-19 pada 2 Mei semasa dalam dikuarantin. Hasil ujiannya positif pada keesokan harinya.

Beliau sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 17 April.

Seorang lagi pelawat adalah wanita warga Filipina berusia 45 tahun yang mengunjungi Wad 9D pada 25 April.

Beliau dikuarantin di sebuah kemudahan khas pada 30 April. Pada 2 Mei, beliau mengalami selesema, sakit tekak dan demam dan melaporkan simptomnya itu.

Beliau diuji positif COVID-19 pada hari yang sama dan jangkitannya disahkan pada keesokannya harinya.

Pelawat ketiga adalah seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun yang datang ke Wad 9D pada 21 dan 22 April.

Beliau dikuarantin di sebuah kemudahan khas pada 30 April. Beliau kemudian mengalami sakit tekak dan demam pada 3 Mei dan melaporkan keadaannya.

Beliau diuji bagi COVID-19 pada hari yang sama dan keputusannya positif.

AHLI FARMASI

Satu-satunya petugas hospital dalam kes baru COVID-19 semalam yang turut terkait dengan kelompok TTSH adalah seorang ahli farmasi yang berinteraksi dengan para pesakit dan kakitangan Wad 9D pada 20 April.

Rakyat Singapura berusia 25 tahun itu kali terakhir bertugas di tempat kerja pada 28 April.

"Beliau mengalami selesema ringan pada 30 April yang pulih pada hari yang sama," menurut MOH.

Pada 1 Mei beliau diuji bagi COVID-19 dan dikuarantin awal pagi 3 Mei. Keputusannya positif pada hari yang sama.

Beliau sudah divaksin sepenuhnya, dengan dos pertama diterima pada 25 Februari dan dos kedua pula pada 18 Mac.

PESAKIT DI WAD 9D

Pesakit TTSH yang diuji positif bagi COVID-19 dimasukkan ke wad 9D pada 26 April dan dipindahkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 27 April.

Beliau menjalani ujian swab COVID-19 pada 28 dan 30 April, kedua-duanya negatif.

Pada 2 Mei, beliau mula batuk dan demam dan diuji sekali lagi keesokan harinya. Keputusannya positif pada 4 Mei.

VARIAN INDIA

Pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19 awal semalam mendedahkan bahawa lima orang dalam kelompok TTSH didapati dijangkiti varian India virus tersebut.

(Grafik: Izzah Hafsah/BERITAmediacorp)

Kes-kes dengan varian B16172 termasuk seorang lelaki berusia 57 tahun yang mengalami simptom-simptom pada 16 April namun tidak mendapatkan rawatan.

Beliau dimasukkan ke Wad 7D pada 18 April dan diuji negatif COVID-19.

Dua hari kemudian, beliau dipindahkan ke Wad 9D. Beliau disahkan sebagai kes yang dijangkiti COVID-19 pada 28 April.

Kes-kes lain dengan varian India di TTSH adalah seorang jururawat berusia 46 tahun yang kesnya pertama kali dikesan pada 27 April serta seorang doktor dan dua lagi pesakit.

Selain daripada lima kes dalam kelompok TTSH, terdapat lagi dua kes dengan varian B16172 - iaitu pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang dikerahkan ke Terminal 1 Lapangan Terbang Changi dan seorang pekerja pembersihan di sebuah kemudahan jagaan masyarakat di Tuas South.

Kedua-duanya adalah daripada kelompok berasingan.

Virus-virus dalam setiap kelompok "berbeza dari segi filogenetik", yang menggambarkan bahawa kelompok-kelompok tersebut tiada hubung kait antara satu sama lain, menurut MOH.

Semasa di sidang media, Pengarah Khidmat Perubatan MOH, Kenneth Mak berkata jika strategi vaksinasi Singapura tidak mengutamakan para petugas khidmat jagaan kesihatan dan warga tua Singapura, kelompok TTSH mungkin "jauh lebih besar".

Memberikan kemas kini tentang kelompok hospital itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata ujian-ujian yang dijalankan ke atas semua pesakit di hospital itu sudah selesai.

"Semua keputusan adalah negatif, selain daripada yang sudah kami umumkan. Semalam, kami sudah selesai pusingan kedua ujian ke atas para pesakit dan keputusannya belum selesai," tambah beliau.

"Sebahagian daripada mereka mungkin masih melalui proses inkubasi (virus) dan mungkin positif dalam tempoh beberapa hari mendatang dan kami akan terus memantaunya."

Ujian ke atas kesemua 12,000 kakitangan di kampus juga sedang dijalankan.

Singapura melaporkan 17 kes baru COVID-19 semalam.

Selain lima yang terkait dengan kelompok TTSH, bakinya adalah kes-kes import.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan