Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelompok penjual ikan: Pasar raya beri jaminan ada cukup ikan, gesa pelanggan hanya beli apa yang perlu

Di tengah-tengah penutupan gerai makanan laut di pasar basah merata Singapura bagi mengekang penularan lebih lanjut COVID-19 dari kelompok yang melibatkan penjual ikan, rangkaian pasar raya pada Ahad (18 Julai) memberi jaminan kepada pembeli bahawa terdapat cukup bekalan ikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelompok penjual ikan: Pasar raya beri jaminan ada cukup ikan, gesa pelanggan hanya beli apa yang perlu

Kaunter makanan laut di NTUC FairPrice Xtra di Ang Mo Kio Hub pada 18 Jul 2021 (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 19 Jul 2021 12:32AM Dikemas Kini : 19 Jul 2021 01:28AM

SINGAPURA: Di tengah-tengah penutupan gerai makanan laut di pasar basah merata Singapura bagi mengekang penularan lebih lanjut COVID-19 dari kelompok yang melibatkan penjual ikan, rangkaian pasar raya pada Ahad (18 Julai) memberi jaminan kepada pembeli bahawa terdapat cukup bekalan ikan.

Bahkan, menurutnya mereka sedang berusaha untuk menambah bekalan ikan dari sumber alternatif, kerana Pelabuhan Perikanan Jurong akan ditutup selama dua minggu dari Sabtu hingga 31 Julai bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh.

Ketika Mediacorp mengunjungi lima pasar raya pada petang Ahad, memang terdapat banyak ikan yang ditawarkan, kecuali cawangan FairPrice Xtra di Ang Mo Kio Hub di mana hanya terdapat sotong, udang karang dan satu jenis ikan.

"FairPrice bekerjasama rapat dengan pembekal kami untuk mencari alternatif dan meningkatkan bekalan yang ada untuk memastikan makanan laut tetap ada," tertera papan tanda di pasar raya itu.

Dalam satu catatan di Facebook pada Ahad malam, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata mungkin ada gangguan sementara bagi bekalan makanan laut dibekukan. Namun, beliau menekankan bahawa pembeli tidak perlu berebut-rebut membeli makanan laut kerana pilihan bekalan beku tetap ada.

"Peruncit dan pembekal kami akan terus meningkatkan bekalan alternatif untuk memenuhi permintaan pengguna. Sedang kita bekerjasama untuk mengatasi gangguan sementara ini, ayuh mainkan peranan kita dengan menukar pilihan makanan dan mencuba pelbagai jenis makanan, "tambahnya.

BAGAIMANA PASAR RAYA DAPAT BEKALAN

Kementerian Kesihatan pada Sabtu menyatakan tujuh orang dijangkiti koronavirus di pelabuhan perikanan Jurong.

Dalam kemas kininya tengah malam Sabtu, MOH menambah bahawa penjual ikan yang bekerja di sekurang-kurangnya 11 pasar di seluruh Singapura telah dijangkiti, mungkin melalui hubungan dengan pegerai di pelabuhan.

Ketua pegawai eksekutif NTUC FairPrice, Encik Seah Kian Peng, berkata rangkaian pasar raya itu dengan segera menghubungi pembekalnya sebaik sahaja mendapat berita mengenai penutupan pelabuhan perikanan di Jurong.

Dalam catatan di Facebook pada hari Ahad, beliau berkata ia segera meneroka bekalan alternatif atau berisiko tidak mempunyai ikan segar di kedainya.

Hasilnya, bekalan ikan di pasar raya FairPrice tidak terjejas pada hari Ahad, katanya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap NTUC FairPrice berkata sumber tambahan segera diusahakan untuk menerima bekalan makanan laut segar di samping mengurus tambahan permintaan dalam masa dua minggu akan datang.

Tambahnya ikan yang dijual di pasar raya Fairprice diperolehi dari sumber tempatan dan juga diimport dari negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Dairy Farm International Holdings, yang mengendalikan pasar raya Cold Storage dan Giant, juga berusaha menambah bekalan makanan laut yang ada.

Jurucakapnya memberitahu Mediacorp bahawa syarikat itu sedang bekerja rapat dengan pembekalnya, supaya pelanggan boleh terus mendapatkan bekalan makanan laut segar dan beku di cawangan pasar rayanya.

Kedua-dua rangkaian pasar raya itu tidak mengenakan had pembelian makanan laut pada ketika ini, tetapi menggesa pelanggan supaya membeli apa yang mereka perlukan sahaja.

Jurucakap Dairy Farm juga memberi jaminan bahawa rangkaian pasar raya tersebut akan tetap komited untuk memastikan harga makanan laut terus stabil, memandangkan "ini adalah masa-masa yang mencabar bagi semua orang". 

Sumber : Today/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan