Koronavirus

Images
  • pelabuhan perikanan jurong
    Kerja-kerja pembersihan dijalankan di Pelabuhan Perikanan Jurong. (Gambar: Grace Fu/Facebook)

Kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong punca kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat); bukan KTV

SINGAPURA: Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) disebabkan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong yang kian meningkat dan kerana "kita berisiko berdepan lonjakan kes yang tidak dapat dikawal".

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

"Memandangkan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong serius, kami berpendapat ini bukan masanya untuk mengambil risiko sekarang," tambah beliau dalam satu catatan Facebook pada Rabu (21 Jul).

Encik Ong berkata beliau menerima banyak "pertanyaan yang sah" tentang mengapa perlu memperketat langkah-langkah "sedangkan kita merancang untuk meneruskan kehidupan dengan COVID-19."

"Seperti semua orang, saya kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab mereka dalam kelompok KTV itu tetapi ia bukanlah sebab Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dilaksanakan semula," ujar beliau.

"Sebaliknya, MTF (pasukan bertindak berbilang kementerian) menyangka kami boleh membendung kelompok KTV dan memutuskan untuk terus membuka premis-premis F&B di bawah peraturan 2/5 orang, contohnya membenarkan sehingga lima orang jika kesemuanya sudah lengkap divaksinasi," jelas beliau, yang menambah bahawa bilangan kes daripada kelompok itu sudahpun berkurangan sepanjang beberapa hari yang lalu.

"Malangnya, sedang para penjual ikan dan pembantu gerai kita bekerja keras mencari rezeki, mereka dijangkiti di pelabuhan itu," kata Encik Ong, merujuk kepada Pelabuhan Perikanan Jurong yang sudahpun ditutup sejak 17 Julai hingga 31 Julai bagi kerja-kerja pembersihan.

"Oleh kerana mereka pergi bekerja di beberapa pasar merata negara, labih banyak kes dalam masyarakat tercetus."

Kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong yang bertambah menjadi 451 kes setakat petang Rabu, kini adalah kelompok aktif paling besar di negara ini.

Encik Ong menambah pasar-pasar itu sering dikunjungi warga senja, yang kebanyakannya masih belum mendapatkan vaksin menentang virus COVID-19.

"Ini paling membimbangkan dan kita kini berisiko berdepan lonjakan kes yang tidak dapat dikawal yang berpotensi menyebabkan ramai sakit teruk atau kematian," tambah beliau.

"Oleh itu, kami perlu terlebih dahulu memperketat kegiatan-kegiatan sosial."

Menjawab pertanyaan tetang mengapa perlu menggantung kegiatan duduk makan di cawangan F&B meskipun tiada kes dilaporkan di cawangan-cawangan sedemikian, Encik Ong berkata: "Malangnya, ia bukan seperti itu."

"Sekiranya lima orang bertemu untuk makan malam, setiap daripada mereka ada lagi lima orang di rumah yang juga bertemu rakan-rakan mereka dalam kumpulan lima orang, kita mempunyai rangkaian 5x5x5=125 untuk membolehkan virus itu menular," jelas beliau.

"Ini akan melipatgandakan lagi penularan dalam kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong."

Encik Ong menambah 50 peratus penduduk Singapura sudahpun menerima dua dos vaksin COVID-19.

"Ia adalah kadar yang baik tetapi ia perlu lebih tinggi," kata beliau. "Peratusannya akan meningkat sebanyak satu peratusan mata setiap hari. Dalam tempoh dua minggu, kita akan mencatat 64 peratus atau lebih. Ia akan meletakkan kita di kedudukan yang lebih kukuh dan berdaya bingkas apabila kami menyemak semula peraturan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

"Ia situasi yang mengecewakan tetapi saya berharap dengan penjelasan saya, kita memahami mengapa langkah-langkah itu perlu."

- CNA/SM/sm

Top