Skip to main content

Iklan

Iklan

Kelompok jangkitan di Kedah merebak lebih pantas, kata ketua pengarah kesihatan M'sia

 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji sama ada kelompok penularan Sivagangga di Kedah merupakan kelompok ‘super-spreader’ iaitu berupaya menjangkiti ramai orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelompok jangkitan di Kedah merebak lebih pantas, kata ketua pengarah kesihatan M'sia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 Aug 2020 08:25AM Dikemas Kini : 07 Aug 2020 08:27AM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji sama ada kelompok penularan Sivagangga di Kedah merupakan kelompok ‘super-spreader’ iaitu berupaya menjangkiti ramai orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini memandangkan kelompok Sivangangga merebak dengan cepat berbanding kluster di Sarawak dan sebagainya.

“KKM kena laksana ujian dengan teliti, dan akan kulturkan virus tersebut di makmal serta melihat kepada susunan genomik,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini, pada Khamis (6 Ogos).

Jelasnya pada masa ini KKM berjaya mengawal peningkatan mendadak kes COVID-19 daripada kelompol Sivagangga.

Mengulas mengenai jangkitan yang berlaku di Australia, Dr Noor Hisham berkata COVID-19 merebak di Victoria kerana seorang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) di pusat kuarantin dan menjangkiti seluruh komuniti dan satu negeri.

“Petang tadi saya mengadakan telesidang dengan rakan sejawat saya di Melbourne. Saya dimaklumkan kes jangkitan tertumpu kepada seorang individu yang balik dan membawa jangkitan kepada semua orang,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu adalah sepertimana berlaku dalam kelompok Sivagangga.

“Seorang individu yang balik dan membawa jangkitan tetapi tidak mematuhi SOP akan menyebabkan orang lain dijangkiti,” katanya.

Kelompok jangkitan tersebut bermula daripada ketidakpatuhan seorang individu yang pulang ke Malaysia dan dikenakan arahan kuarantin di rumah.

Pemilik restoran itu, merupakan penduduk tetap Malaysia, mulanya diuji negatif COVID-19 di KLIA ketika pulang dari Sivagangga, India pada 13 Julai.

Namun lelaki berusia 57 tahun itu yang mengendalikan sebuah restoran di mukim Hosba di daerah Kubang Pasu, Kedah tidak mematuhi arahan pengawasan di rumah dan kemudian diuji positif pada 28 Julai bagi COVID-19 apabila saringan dilakukan sekali lagi.

Pada 28 Julai seramai 28 orang yang berhubung rapat dengan pemilik restoran itu disaring, dengan lima orang yang tinggal serumah dengannya diuji positif - anaknya dan empat pekerja bukan Malaysia.

Mengulas mengenai penglibatan KKM dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah nanti, Dr Noor Hisham berkata SOP yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan akan digunakan di PRK DUN Slim, bakal dijadikan penanda aras.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi bagi menambah baik SOP yang akan disyorkan pada PRN Sabah, kelak. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan