Skip to main content

Iklan

Iklan

Kelompok COVID-19 dalam masyarakat terbesar S'pura di Pelabuhan Perikanan Jurong ditutup

 Kelompok COVID-19 yang dikaitkan dengan  Pelabuhan Perikanan Jurong diisytiharkan tutup pada Selasa (7 Sep). Ini setelah tiada kes baru dikaitkan dengan kelompok itu sejak 15 Ogos, menurut data dari Kementerian Kesihatan (MOH). 

Anggaran Waktu Membaca:
Kelompok COVID-19 dalam masyarakat terbesar S'pura di Pelabuhan Perikanan Jurong ditutup

Tempat masuk Pelabuhan Perikanan Jurong pada 19 Jul 2021. (Gambar fail: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 08 Sep 2021 08:50AM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 09:01AM

SINGAPURA: Kelompok COVID-19 yang dikaitkan dengan Pelabuhan Perikanan Jurong diisytiharkan tutup pada Selasa (7 Sep). Ini setelah tiada kes baru dikaitkan dengan kelompok itu sejak 15 Ogos, menurut data dari Kementerian Kesihatan (MOH).

Kelompok itu, yang diumumkan pada 16 Julai, mempunyai 1,155 kes COVID-19 berhubung kait dengannya sebelum ia ditutup. Ia adalah kelompok dalam masyarakat terbesar di Singapura.

Berdasarkan data MOH, tiada kes baru dikaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong sejak 15 Ogos. Ketika di puncak penularannya, lebih 100 kes berkait dengannya setiap hari.

KES PERTAMA DIKESAN

Pada 16 Julai, kes COVID-19 dikesan dalam kalangan individu yang bekerja atau mengunjungi Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim di Upper Cross Street serta Pelabuhan Perikanan Jurong.

Kedua-dua tempat itu ditutup kepada orang awam dari 17 Julai untuk mematahkan rantaian penularan. Mereka yang bekerja di pelabuhan itu antara 3 dengan 16 Julai dikuarantin. Ujian wajib dijalankan ke atas semua pengunjung ke pasar serta pelabuhan tersebut.

Sehari kemudian, pegerai ikan dan makanan laut segar di pasar-pasar yang diuruskan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) diarah hentikan operasi. Mereka menerima amaran risiko kesihatan melalui SMS dari MOH, mengkehendaki mereka untuk menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR).

Semua pegerai itu diberitahu mereka tidak boleh meneruskan operasi sehingga diuji negatif.

Pada 19 Julai, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan kelompok cawangan-cawangan KTV "berhubung kait". Sejumlah 116 kes baru COVID-19 ditambah pada kelompok itu, menjadikannya 179 kes secara keseluruhan.

KEMBALI KE FASA 2 (KEWASPADAAN DIPERTINGKAT)

Kes harian dikaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong mencecah puncaknya pada 20 Julai dengan pertambahan 142 kes baru. Pasar dan Pusat Makanan Haig Road serta Pasar Chong Pang ditutup kepada orang awam.

Encik Ong berkata kelompok yang semakin membesar di pelabuhan itu bermakna Singapura terpaksa kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) mulai 22 Julai.

PELABUHAN PERIKANAN JURONG BEROPERASI SEMULA

Jumlah harian kes yang ditambah pada kelompok itu kekal melebihi 50 sedang Singapura beralih semula ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). Ketika fasa itu, orang ramai tidak dibenarkan makan di premis F&B dan saiz kumpulan dikurangkan kepada dua orang.

Walaupun lebih banyak kes jangkitan dikesan melalui ujian, jumlah harian kes merosot. Kurang seminggu selepas langkah-langkah baru itu diperkenalkan, pada 27 Julai, jumlah harian kes baru jatuh bawah 40.

Pelabuhan Perikanan Jurong menyambung semula operasi pada 31 Julai dengan langkah-langkah COVID-19 diperkenalkan untuk mengurangkan risiko satu lagi penularan virus. Ketika itu, terdapat lebih 1,000 kes dalam kelompok tersebut - sekitar dua minggu selepas ia dikenal pasti.

Kes dikaitkan dengan kelompok pelabuhan itu merosot dengan pantas dan menjelang 8 Ogos, ia susut ke bawah lima kes sehari.

Pada 12 Ogos, hampir sebulan selepas kelompok itu dikesan, tiada kes baru dikaitkan dengannya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan