Skip to main content

Iklan

Iklan

Kelesuan, hilang deria bau atau rasa antara gejala tidak nyata COVID-19

Kelesuan dan hilang deria bau serta rasa kini termasuk dalam gejala COVID-19 tidak nyata, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham pada Rabu (27 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:
Kelesuan, hilang deria bau atau rasa antara gejala tidak nyata COVID-19

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 28 May 2020 11:06AM Dikemas Kini : 28 May 2020 11:07AM

PUTRAJAYA: Kelesuan dan hilang deria bau serta rasa kini termasuk dalam gejala COVID-19 tidak nyata, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham pada Rabu (27 Mei).

Dr Noor Hisham berkata sebelum ini jika seseorang mempunyai gejala nyata seperti demam, batuk, selesema, cirit-birit dan sesak nafas, kebarangkalian untuk mendapat jangkitan COVID-19 itu wujud.

“Tetapi gejala yang kita tak perasan adakalanya adalah keletihan, kelesuan, yang juga satu gejala (COVID-19). Hilangnya deria bau dan deria rasa. Itupun satu gejala.

“Mesyuarat (tempoh hari) di Jabatan Perdana Menteri pun, pegawai tersebut yang datang ke mesyuarat (pasca Kabinet), dia tidak ada gejala yang nyata. Contohnya demam, batuk, sesak nafas ataupun selesema. Tetapi hanya gejala kelesuan yang ada,” jelas beliau dalam sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata apabila pegawai tersebut ada gejala kelesuan, kebetulan yang beliau diperlukan bagi menghadiri mesyuarat tersebut, maka Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan ujian saringan dan beliau disahkan positif.

Meskipun di pejabat mempunyai peralatan untuk memeriksa suhu badan, jelas Dr Noor Hisham, seseorang dengan suhu badan normal (36.6 hingga 37.2 darjah Selsius) tidak semestinya tidak bergejala (gejala tidak nyata).

“Tapi kalau ada gejala (nyata dan tidak nyata), pastikan jangan datang ke pejabat langsung,” tegasnya yang mengulas pertanyaan pemberita berhubung wujudnya perbezaan suhu badan pada termometer yang digunakan.

TEROKA CARA TEMPATKAN PESAKIT BEBAS COVID-19 YANG ENGGAN PULANG

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata KKM akan melihat bagaimana untuk menempatkan pesakit COVID-19 yang dibenarkan keluar selepas 14 hari sekiranya mereka tidak mahu pulang ke rumah.

“Kalau mereka tak nak balik, kita akan lihat bagaimana untuk kita tempatkan mereka di hospital atau mungkin di institut latihan dan tempat yang asymptomatic (tidak menunjukkan apa-apa simptom) bergejala ringan.

“Mereka yang bergejala pada hari pertama dan hari 14 masih lagi bergejala, itu yang kita akan tahan lagi. Sebab ada yang (bergejala) berpunca dari virus dan kebolehjangkitan atau komplikasi,” jelasnya.

Tambah Noor Hisham, sekiranya pesakit ada komplikasi dan memerlukan rawatan berlanjutan, KKM akan pantau dan rawat sehingga mereka dibenarkan keluar daripada wad.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, KKM juga menerbitkan garis panduan untuk pakar-pakar serta doktor bagi merawat serta mengurus pesakit buat tempoh 14 hari dalam masa terdekat.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata KKM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), polis dan badan bukan kerajaan (NGO) saling bekerjasama untuk melaksanakan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat ketika aktiviti riadah serta bersenam.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan