Skip to main content

Iklan

Iklan

Kekalkan semangat 'circuit breaker; tak perlu tergesa-gesa keluar esok - Masagos

Lebih banyak perniagaan dan perkhidmatan akan dibuka semula bermula 12 Mei, dengan beberapa sekatan di bawah langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dilonggarkan bagi perniagaan dan perkhidmatan pilihan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kekalkan semangat 'circuit breaker; tak perlu tergesa-gesa keluar esok - Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

SINGAPURA: Lebih banyak perniagaan dan perkhidmatan akan dibuka semula bermula 12 Mei, dengan beberapa sekatan di bawah langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dilonggarkan bagi perniagaan dan perkhidmatan pilihan.

Ini termasuk perkhidmatan gunting rambut dan salun.

Menulis dalam akaun Facebook beliau hari ini (11 Mei), Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli berkata ramai yang menantikan hari tersebut. Namun, beliau mengingatkan bahawa penduduk tidak harus tergesa-gesa keluar rumah sebaliknya "mengawal diri" .

Beliau memberi contoh, bagaimana orang ramai harus membuat temu janji untuk menggunting rambut di mana mungkin dan pastikan untuk mengamalkan jarak selamat semasa menantikan giliran mereka.

Tambah Encik Masagos pelonggaran beberapa langkah "circuit breaker" bukan alasan bagi penduduk untuk merayau-rayau di luar rumah.

"Kekalkan semangat langkah pemutus jangkitan. Kita harus terus berwaspada dan mematuhi langkah jarak selamat pada setiap masa bagi memastikan keselamatan kita dan mereka di sekeliling kita," tulis Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Encik Masagos menegaskan bahawa perniagaan-perniagaan yang beroperasi semula perlu mematuhi pengurusan keselamatan lebih ketat.

"Perniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah contohnya, harus memastikan pengendalian makanan dengan selamat, melibatkan hanya anggota keluarga yang tinggal serumah di dalam perniagaan itu, serta mengehadkan interaksi antara pelanggan dan kakitangan penghantar," tambah beliau.

Encik Masagos turut mengambil kesempatan untuk menggesa masyarakat agar terus membantu memastikan Singapura dalam keadaan selamat, sekali pun dengan sesetengah langkah "circuit breaker" dilonggarkan kerana keadaan COVID-19 di Singapura kian bertambah baik.

"Kita sudah selesai menjalani tempoh "circuit breaker" selama sekitar 5 minggu. Ayuh terus mematuhi langkah jarak selamat, elakkan tempat sesak, dan pakai pelitup apabila keluar rumah untuk melakukan aktiviti penting," tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan