Skip to main content

Iklan

Iklan

Kegiatan sekolah akan disambung semula secara berperingkat; sokong pembangunan, kesejahteraan pelajar

Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (8 Nov) menyatakan ia akan menyambung semula lebih banyak kegiatan sekolah secara bertahap-tahap, termasuk Kegiatan Luar Darjah (CCA) di sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL).

Anggaran Waktu Membaca:
Kegiatan sekolah akan disambung semula secara berperingkat; sokong pembangunan, kesejahteraan pelajar

Gambar: Facebook/MOE

Diterbitkan : 08 Nov 2021 09:07PM Dikemas Kini : 08 Nov 2021 09:13PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (8 Nov) menyatakan ia akan menyambung semula lebih banyak kegiatan sekolah secara bertahap-tahap, termasuk Kegiatan Luar Darjah (CCA) di sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL).

Langkah itu bertujuan untuk memperkayakan pengalaman belajar dan menyokong dengan lebih baik lagi pembangunan menyeluruh serta kesejahteraan pelajar, menurut kementerian tersebut.

Ia merujuk kepada kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan pelajar 12 tahun ke atas sebagai "situasi yang baik" untuk menyambung semula lebih banyak aspek kehidupan sekolah dengan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Mulai 10 November, sekolah menengah, bahagian sekolah menengah/pelajar sekolah menengah atas Sekolah Pendidikan Khas (SPED), Maktab Rendah (JC)/Institut Millennia (MI) dan IHL akan dibenarkan menganjurkan kegiatan-kegiatan sambil memakai pelitup bagi kumpulan-kumpulan kecil sehingga 5 individu, bergantung kepada langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 sedia kala.

Institut-institut pendidikan itu juga akan merintis penyambungan semula format sukan berpasukan untuk membolehkan kumpulan sehingga 10 individu lengkap divaksin untuk bermain bersama, dengan para peserta dikehendaki menunjukkan hasil negatif ujian pantas antigen (ART) yang sah di lokasi sebelum setiap perlawanan.

Ini serupa dengan format sukan berpasukan dalam masyarakat yang dirintis oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), menurut MOE. Kementerian itu menambah bahawa ia akan menyemak semula kesan usaha perintis itu pada November dan Disember untuk membuat persiapan menambah kegiatan sukan pada 2022.

"MOE akan terus memantau situasi COVID-19 dengan teliti dan membuat penyesuaian sewajarnya untuk memastikan persekitaran sekolah kita selamat sedang ia menyambung semula secara bertahap-tahap lebih banyak kegiatan sekolah dan pelajar sedang kita belajar hidup bersama endemik COVID-19," menurut kementerian tersebut.

"Kami menggesa kesemua pelajar dan kakitangan untuk terus mengamalkan kebersihan diri yang baik, mematuhi SMM dan menjalankan tanggungjawab sosial."

RANCANGAN 2022

Mulai Januari tahun depan, MOE menyatakan ia akan terus menyambung semula lebih banyak aspek kehidupan sekolah bagi sekolah-sekolah menengah dan JC/MI, termasuk kegiatan-kegiatan yang sebelum ini ditangguh atau terjejas.

Ini termasuk upacara menaikkan bendera, perhimpunan sekolah, Perjalanan Pembelajaran, CCA, Sukan Sekolah Kebangsaan dan Pesta Belia Singapura (SYF).

IHL juga akan membuat perancangan untuk menyambung semula aspek-aspek kehidupan di kampus seperti kuliah dan kegiatan pelajar secara fizikal, dan acara sukan IHL lebih besar seperti sukan POL-ITE dan Sukan Antara Fakulti.

"Perincian lanjut akan dikongsi kelak," menurut MOE.

HARI PERTAMA MURID K1, P1

Pada 4 Januari 2022, hanya murid-murid Tadika 1 (K1) dan Darjah 1 (P1) termasuk mereka daripada bahagian rendah/pelajar sekolah rendah bawah bagi sekolah-sekolah SPED akan melaporkan diri di sekolah.

Seorang ibu atau bapa ataupun waris akan dibenarkan menemani murid itu untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih baik kepada persekitaran dan rutin baru.

Murid-murid K2 dan P2 hingga P6 pula hanya akan pulang ke sekolah pada 5 Januari 2022.

"Ini akan memudahkan kepulangan murid-murid ke sekolah pada hari pertama dan memastikan SMM boleh dilaksanakan dengan berkesan," tambah MOE.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan