Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kedai kopi digalak peruntuk 'tempat tetap' periksa status vaksinasi pelanggan

Kedai kopi digalak memperuntukkan "tempat tetap" seperti sebuah gerai kopi, misalnya, di mana anggota kakitangan boleh memeriksa status vaksinasi para pelanggan yang mahu duduk makan di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Oct 2021 07:32PM Dikemas Kini : 13 Oct 2021 12:08PM

SINGAPURA: Kedai kopi digalak memperuntukkan "tempat tetap" seperti sebuah gerai kopi, misalnya, di mana anggota kakitangan boleh memeriksa status vaksinasi pelanggan yang mahu duduk makan di sana. Demikian menurut Cik Grace Fu sehari sebelum peraturan dimulakan untuk tidak membenarkan individu belum divaksin daripada duduk makan di tempat-tempat tersebut.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran itu menambah para pengendali tidak dikehendaki memasang penghadang untuk mengehadkan pelanggan ke satu tempat masuk atau keluar. Beliau sedia maklum ia akan menjadi satu cabaran buat pengendali untuk berbuat demikian memandangkan setiap kedai kopi seperti juga pusat penjaja mempunyai susun atur yang berbeza. Pusat-pusat penjaja, sejak Julai lalu, sudah mempunyai sistem pintu masuk dan keluar yang ditetapkan di mana pengunjung harus menggunakan sistem jejak kontak SafeEntry. 

Pengendali kedai kopi dan pusat penjaja bagaimanapun,harus terus mengingatkan pelanggan tidak divaksin bahawa mereka tidak dibenarkan untuk duduk makan di sana dan hanya boleh membungkus makanan serta minuman.

Pihak berkuasa akan meletakkan poster dan menggunakan sistem siaran awam di pusat penjaja serta kedai kopi, jika ada, untuk terus mengingatkan pelanggan tentang peraturan-peraturan itu juga.

“Jika (pengendali) mendapat tahu tentang pelanggan yang duduk makan tetapi tidak divaksin, kami menggesa pengendali supaya mengingatkan mereka agar tidak berbuat demikian dan segera meninggalkan premis," kata Cik Fu.

Mulai Rabu, mereka yang tidak divaksin tidak akan dibenarkan untuk memasuki pusat beli-belah, kedai besar bangunan sendiri, tempat-tempat daya tarikan, pusat penjaja dan kedai kopi. Ia sebahagian daripada sekatan baru yang dilaksanakan untuk melindungi mereka serta mengurangkan beban ke atas sistem jagaan kesihatan. Barang diingat, tempoh kelonggaran bagi pusat beli belah selama seminggu dari 13 Oktober sebelum peraturan baru dilaksanakan sepenuhnya, tidak meliputi pusat penjaja dan kedai kopi.

Sepanjang tempoh penguatkuasaan, para pegawai akan secara rambang menghampiri pelanggan untuk memerika status vaksinasi mereka melalui aplikasi mudah alih TraceTogether di telefon bimbit mereka.

Jika mereka didapati tidak divaksin, para pegawai akan mencatatkan maklumat peribadi mereka dan mengingkatkan mereka bahawa mereka tidak dibenarkan untuk duduk makan di sana.

Sekiranya individu tidak divaksin didapati mengulangi perbuatan duduk makan di tempat-tempat tersebut, pegawai penguat kuasa "tiada pilihan" selain mengenakan denda terhadap mereka, kata Cik Fu.

Beliau menambah di kedai kopi atau pusat penjaja terpilih, di mana warga tua tidak divaksin dipercayai berkumpul, pemeriksaan juga boleh dijalankan. Bahkan, pemeriksaan lebih kerap mungkin dijalankan di tempat-tempat seumpama itu.

“Apa yang sedang kami cuba lakukan adalah benar-benar untuk mencegah warga tua tidak divaksin daripada bergaul di ruang masyarakat."

“Ini benar-benar untuk melindungi mereka daripada penyakit teruk."

Pendekatan "selektif dan pragmatik" itu diambil oleh pihak berkuasa bukan untuk menyulitkan keadaan bagi sebilangan besar pelanggan yang sudahpun divaksin, tambah beliau.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan