Skip to main content

Iklan

Iklan

Kedai gunting, dandan rambut di Qatar dibuka semula tepat masanya untuk Aidiladha

Para penduduk di Doha, Qatar keluar untuk mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai-kedai dandanan rambut yang kembali beroperasi semula setelah ditutup pada Mac demi membendung penularan COVID-19. Qatar adalah salah satu negara dengan jumlah jangkitan virus korona per kapita tertinggi di dunia. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kedai gunting, dandan rambut di Qatar dibuka semula tepat masanya untuk Aidiladha

Para tukang gunting rambut memberikan khidmat gunting rambut kepada pelanggan setelah sekatan dilonggarkan di Qatar, membenarkan perniagaan mereka disambung semula. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 02:34PM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 02:37PM

DOHA: Para penduduk di Doha, Qatar keluar untuk mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai-kedai dandanan rambut yang kembali beroperasi semula setelah ditutup pada Mac demi membendung penularan COVID-19. Qatar adalah salah satu negara dengan jumlah jangkitan virus korona per kapita tertinggi di dunia.

Kedai dandanan rambut dibenarkan dibuka sebagai sebahagian daripada kelonggaran ke atas sekatan COVID-19. Ini bermakna orang ramai dapat menggunting rambut mereka tepat pada masanya bagi cuti perayaan Aidiladha yang bermula pada Khamis (30 Jul).

Dengan kedai gunting dan dandanan rambut dibenarkan dibuka semula dari Selasa lalu, kebanyakannya pada awalnya tidak dapat menerima sebarang pelanggan kerana semua kakitangan dikehendaki menjalani ujian COVID-19 dan mereka perlu mempunyai permit rasmi.

Para pegawai kesihatan pada Ahad lalu menyatakan dengan kadar jangkitan yang merosot, program pembukaan semula wajar dipercepatkan.

Semua pekerja "diuji dengan tiada seorang pun yang duduk di dalam kedai sambil menunggu sedang kami memeriksa sebuah aplikasi pengesanan kontak", kata tukang gunting rambut warga Turki, Sacit.

"Tentu sekali mereka gembira", ujar Sacit tentang para pelanggannya. "Selama ini isteri-isteri mereka yang menggunting rambut mereka. Sekarang, mereka berasa lega."

Kedai gunting dan dandanan rambut dihadkan menerima pelanggan pada tahap keupayaan 30 peratus. Semua kakitangan juga mesti memakai pelitup dan menjalani ujian COVID-19 manakala di pihak pelanggan pula, mereka perlu membuat temu janji terlebih dahulu.

Puluhan pekerja dari kedai gunting rambut dan rumah urut bersama-sama para jurulatih peribadi serta pakar kecantikan - pekerjaan yang perlu menjalani pemeriksaan wajib COVID-19 - beratur di sebuah kelab sukan Doha sedang mereka menantikan giliran untuk melakukan ujian pada kos $100 setiap seorang.

Kementerian Ehwal Islam Qatar pada Khamis menyatakan jumlah masjid yang dibenarkan untuk mengadakan solat berjemaah dengan mengikut peraturan jarak selamat akan diluaskan kepada 401 menjelang solat Jumaat.

Gimnasium, yang menyambung semula perniagaan sebagai sebahagian daripada fasa terkini pembukaan semula Qatar, dibenarkan beroperasi pada tahap keupayaan 50 peratus. Kolam renang tertutup, sauna, bilik mandi wap dan jakuzi bagaimanapun kekal ditutup.

Sekitar empat peratus daripada 2.75 juta penduduk di Qatar dijangkiti COVID-19 dengan 171 kematian dicatatkan, menurut perangkaan rasmi.

Namun, purata jumlah harian kes jangkitan baru yang dikesan selama tujuh hari lalu merosot kepada 317 daripada 395 pada minggu sebelumnya.

Berdasarkan data rasmi, lebih 107,000 daripada pesakit COVID-19 di negara itu sudahpun sembuh sepenuhnya.

Kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi di Qatar dikaitkan dengan program pengujian besar-besaran, dengan lebih 490,000 ujian dijalankan sejak permulaan wabak itu. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan