Virus Korona

Images
  • child mask
    Seorang budak kecil memakai pelitup di Raffles Place (Gambar: Gaya Chandramohan)

Kanak-kanak bawah 5 tahun lebih sesuai guna pelindung muka tapi kurang "bagus" berbanding pelitup

IPOH: Penggunaan pelitup separuh muka bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun sepanjang berada di dalam kelas adalah tidak digalakkkan kerana boleh mengundang risiko keselamatan, kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik di Malaysia, Dr Amar Singh.

Bekas Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, itu berkata kanak-kanak pada peringkat usia tersebut - terutama yang percakapannya belum lancar atau mempunyai masalah kesihatan seperti asma - mungkin berdepan kesukaran jika memakai pelitup separuh muka untuk tempoh yang lama. 

"Mereka ini mungkin boleh pakai untuk sementara sahaja.

"Kanak-kanak yang ada masalah kesihatan seperti asma atau sakit jantung kita tidak cadangkan pakai pelitup separuh muka untuk tempoh lama kerana bimbang mereka akan sesak nafas. Lebih membimbangkan kalau yang belum pandai bercakap (untuk beritahu masalah)," katanya baru-baru ini.

Dr Amar Singh berkata demikian ketika mengulas peraturan beberapa tabika serta tadika yang mewajibkan semua murid memakai pelitup separuh muka sepanjang sesi pembelajaran. Ini apabila sesi persekolahan bermula kembali di Malaysi pada Rabu ini (1 Jul) selepas ditutup sejak 18 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Dr Amar Singh, yang juga Penasihat Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak (NECIC), bagi kanak-kanak yang boleh memahami dan mengikut arahan, penggunaan pelindung muka mungkin lebih sesuai.

"Ini (pelindung muka) tidak begitu bagus berbanding pelitup separuh muka tapi ia tidak menganggu, senang nak bernafas dan guru boleh tengok muka kanak-kanak itu," katanya sambil menambah guru juga perlu memakai alat tersebut pada setiap masa bagi mengelak titisan air liur terkena pelajar.

SESUAIKAH SANITIZER TANGAN UNTUK KANAK-KANAK?


Mengenai penggunaan sanitizer tangan, Dr Amar Singh berkata tiada masalah untuk kanak-kanak menggunakan cecair itu walaupun mengandungi alkohol. Ini produk tersebut antara pilihan berkesan untuk membasmikan bakteria serta virus termasuk COVID-19 selain membasuh tangan menggunakan air dan sabun.

"Ada ibu bapa bimbang untuk gunakan sanitizer tangan mengandungi alkohol ke atas anak mereka. Sebenarnya, tiada masalah. Jika tanpa alkohol itu sebenarnya tidak menjamin dapat membunuh kuman, bakteria atau virus," jelas beliau.  

Pengguna disaran menggunakan santizer tangan mengandungi kadar alkohol 60 hingga 80 peratus untuk membasmi kuman. Menurut Dr Amar Singh, peratusan alkohol lebih tinggi kurang sesuai kerana sifat bahan itu yang cepat kering selain menyebabkan kulit menjadi kering dan merekah.

- BERNAMA/FZ/fz

Top