Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak 5 tahun antara korban COVID-19 di UK

Britain pada Sabtu (4 Apr) melaporkan 708 kematian akibat COVID-19, iaitu jumlah tertinggi dalam sehari, termasuk seorang kanak-kanak berumur lima tahun yang dipercayai mangsa termuda di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 5 tahun antara korban COVID-19 di UK

(Gambar: Leo RAMIREZ/AFP)

Diterbitkan : 05 Apr 2020 04:08PM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 04:11PM

LONDON: Britain pada Sabtu (4 Apr) melaporkan 708 kematian akibat COVID-19, iaitu jumlah tertinggi dalam sehari, termasuk seorang kanak-kanak berumur lima tahun yang dipercayai mangsa termuda di negara itu.

Menurut Kementerian Kesihatan, setakat jam 4 petang Jumaat, seramai 4,313 pesakit COVID-19 di hospital telah meninggal dunia, manakala terdapat 41,903 kes jangkitan disahkan hingga jam 8 pagi Sabtu, meningkat sebanyak 3,735.

Jumlah kematian terus meningkat dengan lebih 500 korban sehari dicatatkan, minggu ini, dan Britain sedang membuat persiapan menghadapi jumlah kes memuncak pada minggu depan hingga 10 hari.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), sebanyak 637 daripada bilangan kematian baru itu dilaporkan di England.

“Pesakit berumur antara lima hingga 104 tahun. Seramai 40 daripada 637 pesakit tersebut (berusia antara 48 hingga 93 tahun) tidak mempunyai keadaan kesihatan yang diketahui,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, NHS menjelaskan, pihaknya tidak akan memberi maklumat lanjut mengenai pesakit berusia lima tahun itu, atas permintaan keluarga mangsa.

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari London, Ismail Mohamed Abdulwahab meninggal dunia, minggu lalu, beberapa hari selepas disahkan positif COVID-19. Keluarganya berkata mangsa tiada menghidap sebarang penyakit lain.

Menteri Kanan, Michael Gove, berkata ibu dan adik-beradik remaja itu kini turut menunjukkan simptom jangkitan penyakit berkenaan.

Setakat ini, beliau berkata, angka korban secara keseluruhan termasuk tujuh profesional penjagaan kesihatan.

Perdana Menteri, Boris Johnson, yang sedang menjalani kuarantin selepas mengalami simptom sederhana, mengarahkan pelaksanaan perintah berkurung selama tiga minggu pada 23 Mac lalu bagi menyekat penularan wabak itu.

Namun, timbul kebimbangan bahawa ramalan cuaca lebih panas pada hujung minggu ini boleh mendorong orang ramai untuk keluar ke taman.

Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock, menegaskan amalan jarak sosial selamat perlu terus dititikberatkan dengan memberi amaran bahawa sebarang pengabaian terhadap langkah itu ‘boleh mengakibatkan kematian’. 

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan