Skip to main content

Iklan

Iklan

Kakitangan kementerian luar M'sia diuji positif COVID-19, dedah Hishammuddin

Seorang kakitangan Kementerian Luar disahkan positif COVID-19 pada Jumaat (29 Mei), kata Menterinya Hishammuddin Hussein semalam (30 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan kementerian luar M'sia diuji positif COVID-19, dedah Hishammuddin

Hishammuddin Hussein. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 31 May 2020 02:09PM Dikemas Kini : 31 May 2020 02:12PM

PUTRAJAYA: Seorang kakitangan Kementerian Luar disahkan positif COVID-19 pada Jumaat (29 Mei), kata Menterinya Hishammuddin Hussein semalam (30 Mei).

Beliau dalam kenyataan berkata ia adalah kes pertama di kementerian itu yang dikesan menerusi satu saringan kesihatan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Wisma Putra.

"Sebelum menjalani saringan ini, beliau tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom COVID-19 seperti demam, selesema, batuk atau sakit tekak. Beliau kini telah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," kata Encik Hishammuddin.

Menurut Encik Hishammuddin, Wisma Putra juga sudah mengenal pasti sejumlah kakitangan daripada beberapa bahagian di kementerian itu termasuk pejabat menteri yang mempunyai kontak rapat dengan individu terbabit.

Katanya lagi, kesemua kontak rapat itu sudah diarahkan supaya menjalani saringan kesihatan yang dikendalikan oleh KKM.

"Selain itu, mereka juga akan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari," kata Encik Hishammuddin.

Menyusuli pengesanan kes pertama itu, kerja-kerja pembasmi kuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dilakukan dengan serta-merta.

Semua tindakan yang diambil oleh Wisma Putra adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Penularan Pandemik COVID-19 seperti yang ditetapkan KKM.

"Wisma Putra juga telah dan akan terus memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi dan penjagaan kesihatan yang ketat dilaksanakan pada setiap masa," katanya.

Encik Hishammuddin turut mengingatkan semua kakitangan dan pelanggan kementerian agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM termasuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman, memastikan penjarakan sosial serta sentiasa memeriksa suhu badan.

Sumber : Bernama/AW/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan