Virus Korona

Images
  • malaysia covid-19 check
    (Gambar: BERNAMA)

Kakitangan hospital M'sia positif COVID-19, operasi tidak terjejas

PERAK: Perkhidmatan Hospital Teluk Intan (HTI) di Ipoh, Malaysia beroperasi seperti biasa dan dalam keadaan terkawal meskipun selepas seorang kakitangan kesihatan di premis itu disahkan positif COVID-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak Dr Ding Lay Ming. 

Beliau berkata semua pesakit dan orang awam tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit serta kawalan jangkitan sudah dilaksanakan di HTI.

Hospital itu memperketatkan langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 secara berterusan dan menyeluruh sebaik saja kes pertama dikesan. 

Menurut Dr Ding, kerja-kerja membasmi kuman dua kali sehari dijalankan setiap hari di Jabatan Kecemasan HTI dan perkhidmatan kecemasan pula dijalankan sementara di ruang menunggu bersebelahan Unit Pesakit Luar.

Bagaimanapun untuk sementara waktu, Dr Ding menjelaskan bahawa Jabatan Kecemasan HTI hanya akan memberi tumpuan kepada kes kecemasan kritikal untuk zon kuning dan zon merah sahaja, manakala semua kes tidak kritikal bagi zon hijau diarahkan ke Unit Pesakit Luar. 

"Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak telah dimaklumkan untuk membantu dari segi rujukan terus pesakit ke wad dan kes-kes hijau untuk dilihat di Klinik Kesihatan berdekatan. Semua kemasukan kes-kes rujukan adalah melalui 'direct admission' ke wad," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (26 Mac). 

Dr Ding menambah bahawa HTI mendapatkan bantuan Pakar Perubatan Kecemasan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Hospital Taiping dan Hospital Seri Manjung. Sementara itu, kakitangan daripada jabatan lain bergerak ke Jabatan Kecemasan HTI secara berjadual dan berkala bagi membantu melicinkan operasi harian.

"Bantuan kakitangan daripada hospital-hospital berhampiran juga dimohon terutama Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan bagi membantu di Jabatan Kecemasan," katanya. 

Selain itu, semua janji temu klinik-klinik di HTI sama ada pesakit luar dan pakar ditangguhkan serta urusan janji temu dan ubat-ubatan dilakukan menerusi panggilan. Namun, pihak klinik masih menerima kes atau pesakit-pesakit yang mempunyai masalah semasa saringan melalui panggilan telefon.

"Perkhidmatan pembekalan ubat di hadapan Unit Pesakit Luar melalui kaedah pandu lalu disediakan bagi kemudahan pelanggan dan mengurangkan risiko jangkitan.

"Operasi dewan bedah bagi kes-kes tidak penting ditangguhkan bagi menumpukan kepada kes-kes kecemasan dan yang agak serius sahaja dan khidmat Pegawai Perhubungan Awam dikerahkan untuk memberi maklumat sebenar kepada kakitangan dan lain-lain yang terlibat," kata Dr Ding. 

Selain itu, Dr Ding berkata pasukan 'Psychology First Aid (PFA) telah diaktifkan pada 21 Mac untuk membantu dalam pengurusan emosi dan mental para kakitangan yang terlibat.  

- Agensi berita/AY/ha

Top