Virus Korona

Images
  • corona virus mask phone
    Seorang lelaki memakai pelitup sambil menggunakan telefon bimbit ketika menaiki kereta api di Beijing, China, pada Feb 2020. (Gambar: Carlos Garcia Rawlins/REUTERS)

Kajian dapati berita palsu boleh burukkan wabak penyakit

LONDON: Peningkatan 'berita palsu' - termasuk salah maklumat dan nasihat tidak tepat di media sosial - boleh menjadikan wabak penyakit seperti virus korona COVID-19 yang kini menular di China bertambah buruk. Ini menurut satu kajian yang diterbitkan pada Jumaat (14 Feb).

Dalam satu analisis tentang bagaimana penyebaran salah maklumat menjejas penularan penyakit, para saintis di Universiti East Anglia (UEA) Britain berkata sebarang usaha yang berjaya untuk menghentikan orang ramai daripada berkongsi berita palsu boleh membantu menyelamatkan nyawa.

"Apabila disebut tentang COVID-19, terdapat banyak spekulasi, salah maklumat dan berita palsu yang disebarkan di Internet - tentang asal punca virus itu dan bagaimana ia menular," kata Paul Hunter, seorang profesor perubatan UEA yang menerajui bersama kajian tersebut.

"Salah maklumat bererti bahawa nasihat tidak baik boleh disebarkan dengan sangat pantas dan ia boleh mengubah sikap manusia untuk mengambil risiko lebih besar," tambah beliau.

Dalam kajian mereka, pasukan Profesor Hunter menumpukan perhatian kepada tiga penyakit berjangkit lain - selesema, cacar monyet dan norovirus - tetapi berkata bahawa penemuan mereka juga mungkin berguna untuk menangani wabak virus korona COVID-19.

"Berita palsu diterbitkan tanpa menghormati ketepatan dan biasanya berlandaskan teori konspirasi," jelas Profesor Hunter.

Untuk kajian itu, para penyelidik mencipta simulasi teoretikal wabak norovirus, selesema dan cacar monyet.

Model-model ini mengambil kira kajian-kajian tentang tingkah laku sebenar, bagaimana penyakit berbeza menular, tempoh inkubasi dan masa pemulihan selain kelajuan serta kekerapan catatan media sosial dan perkongsian maklumat.

Mereka juga mengambil kira bagaimana kepercayaan lebih rendah kepada pihak berkuasa mempunyai kaitan dengan kecenderungan untuk mempercayai konspirasi, bagaimana orang berinteraksi dalam "gelembung maklumat" secara online dan hakikat bahawa "orang ramai lebih cenderung untuk mengongsikan nasihat buruk di media sosial daripada nasihat yang baik dari sumber yang dipercayai," kata Profesor Hunter.

Para penyelidik mendapati bahawa pengurangan 10 peratus dalam jumlah nasihat berbahaya yang disebarkan boleh mengurangkan kesan buruk wabak. Sementara itu, kesan positif yang sama diperolehi jika 20 peratus penduduk tidak dapat berkongsi nasihat berbahaya.  

- REUTERS/FZ/fz

Top