Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jururawat ICU Hospital Alexandra sempat masak lauk kegemaran anak sebelum tinggalkan keluarga selama 2 minggu

Cik Nelly Hamdin masih lagi terbayang wajah sayu anak bongsunya semasa memeluk erat badannya sebelum melangkah masuk ke pusat imigresen Selasa lalu (17 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:
Jururawat ICU Hospital Alexandra sempat masak lauk kegemaran anak sebelum tinggalkan keluarga selama 2 minggu

Jururawat ICU Hospital Alexandra, Cik Nelly Hamdin, tinggalkan keluarga dua minggu untuk bantu pasukan perubatan tangani krisi COVID-19 di sini. (Gambar: Izwan Ohtman)

SINGAPURA: Cik Nelly Hamdin masih lagi terbayang wajah sayu anak bongsunya semasa memeluk erat badannya sebelum melangkah masuk ke pusat imigresen Selasa lalu (17 Mac).

Dia merupakan antara lapan warga Malaysia yang bertugas sebagai kakitangan Hospital Alexandra yang kini terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia yang berkuat kuasa pada tengah malam 18 Mac lalu.

"Bila suami saya hantar saya ke pusat imigresen, anak bongsu saya ikut sekali. Banyak kali dia salam dan peluk saya. Bila saya dah jalan masuk ke kastam, dia panggil balik nak salam saya lagi. Saya pun sedih sebenarnya tapi saya tak boleh tunjukkan pada dia. Saya tidak mahu emosinya terganggu."

Apabila mendapat tahu tentang berita mengenai penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan itu, Cik Nelly berbincang dahulu dengan suami dan tiga orang anaknya.

"Suami saya kata kalau ini yang terbaik untuk membantu dan waktu ini kita tak boleh pentingkan diri sendiri. Selagi kita boleh berkhidmat bagi mereka yang lebih memerlukan perkhidmatan kita, dia izinkan."

Cik Nelly rasa sangat bertuah mempunyai suami yang sangat memahami tuntutan kerjanya. (Gambar: Nelly Hamdin)

Cik Nelly rasa sangat bertuah mempunyai suami yang sangat memahami tuntutan kerjanya. (Gambar: Nelly Hamdin)

Bertugas sebagai seorang jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Alexandra, Cik Nelly 45 tahun berasa adalah tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada para pesakit yang mana ada di antara mereka positif COVID-19.

Walaupun diberi pilihan oleh majikannya untuk bersama keluarganya di Johor, jururawat yang pernah berkhidmat di Arab Saudi itu memilih untuk datang ke mari bagi memainkan peranan di barisan hadapan melawan virus yang boleh membawa maut itu.

Sedang ramai ibu bapa lain memanfaatkan waktu cuti sekolah untuk meluangkan masa bersama anak-anak mereka, Cik Nelly terpaksa berkorban dan bersyukur mempunyai ahli keluarga yang amat memahami tuntutan kerjaya dan tanggungjawab yang digalasnya.

Pada pagi sebelum berangkat ke Singapura, Cik Nelly sempat pergi ke pasar dahulu untuk membeli barangan dapur dan memasakkan lauk kegemaran anak bongsunya, 14 tahun.

Sedang ibu bapa lain memanfaatkan waktu cuti sekolah untuk bersama anak-anak mereka, Cik Nelly berkorban demi keperluan semasa. (Gambar: Nelly Hamdin)

Sedang ibu bapa lain memanfaatkan waktu cuti sekolah untuk bersama anak-anak mereka, Cik Nelly berkorban demi keperluan semasa. (Gambar: Nelly Hamdin)

"Suami saya dan abang serta kakak dia boleh jaga dia tapi anak bongsu saya sangat-sangat rapat dengan saya. Saya sempat masakkan lauk kegemarannya iaitu kari ayam sebelum datang ke Singapura. Jadi dapatlah sejukkan hati dia sikit."
Di sini, meskipun keseorangan diri, para pesakit dan rakan-rakan setugas yang menjadi penghibur hatinya.

Apabila perintah kawalan pergerakan di Malaysia itu diumumkan, ramai rakan kerjanya yang mempelawa Cik Nelly untuk menginap di rumah mereka namun dia terpaksa menolaknya dengan baik.

"Saya bekerja di ICU, di "hot zone" dan menjaga pesakit COVID-19. Walaupun kawan-kawan ini kakitangan perubatan juga, mereka bertugas di bahagian lain. Saya rasa tidak wajar untuk saya bercampur dengan mereka kerana risiko jangkitan berbeza. Demi kebaikan semua, saya terpaksa menolak tawaran mereka tapi saya sangat menghargainya dan berterima kasih kepada mereka."

Antara pesakit yang dirawat Cik Nelly di ICU termasuk mereka yang positif COVID-19. (Gambar: Izwan Ohtman)

Antara pesakit yang dirawat Cik Nelly di ICU termasuk mereka yang positif COVID-19. (Gambar: Izwan Ohtman)

Cik Nelly kini menetap di sebuah apartmen yang disediakan oleh majikannya.

"Saya agak bertuah, majikan saya bertindak pantas iaitu dalam masa kurang sehari untuk carikan tempat penginapan sementara buat kami yang terjejas. Bila saya tengok ada pekerja Malaysia lain yang terpaksa tidur di MRT dan sebagainya, saya rasa sedih tapi saya terharu dengan bantuan yang diberikan para penduduk Singapura buat mereka sampai ada yang membuka pintu rumah mereka,"

Cik Nelly berharap tempoh perintah kawalan pergerakan di negaranya itu tidak akan dilanjutkan.

Namun sekiranya perlu dilanjutkan juga demi kemaslahatan rakyat kedua-dua negara, Cik Nelly berharap pemerintah boleh mempertimbangkan kelonggaran untuk membolehkan sekitar 300,000 pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Johor dan Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan