Virus Korona

Images
  • sg covid crowd
    Orang ramai menyeberang persimpangan jalan raya di kawasan Orchard Road pada 25 Sep 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Jumlah kes aktif COVID-19 di S'pura kini kurang 100

SINGAPURA: Sembilan kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Jumaat (16 Okt), termasuk lapan kes import.

Baki satu kes dikesan di sebuah dormitori pekerja asing. Tiada jangkitan baru dalam masyarakat dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di Singapura kini sebanyak 57,901.

2 RAKYAT S'PURA DALAM KALANGAN KES IMPORT

Dua rakyat Singapura - seorang lelaki berusia 62 tahun dan seorang wanita 19 tahun - yang pulang dari Filipina merupakan antara kes import yang dilaporkan hari ini.

Empat lagi kes adalah pemegang permit kerja yang kini bekerja di Singapura. Mereka tiba dari Indonesia, Filipina dan Myanmar.

Mereka dikenakan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setibanya di Singapura dan diuji semasa tempoh itu, menurut MOH.

Baki dua kes adalah pemegang pas jangka pendek.

Salah seorang daripadanya adalah lelaki berusia 36 tahun yang dibenarkan masuk ke Singapura dari India kerana beliau mendapatkan rawatan perubatan di Singapura dan kembali bagi rawatan susulan.

"Beliau dihantar langsung ke hospital dan diasingkan setibanya di Singapura dan diuji selepas itu," demikian menurut MOH.

Satu lagi kes melibatkan anggota krew sebuah kapal yang tiba dari Indonesia.

Lelaki itu tidak turun dari kapal dan menjalani ujian swab di atas kapal setelah mengalami simptom. Beliau kekal di atas kapal sehingga keputusan ujiannya menunjukkan positif COVID-19, dan dibawa ke hospital, demikian menurut MOH.

Siasatan epidemiologi sedang dijalankan, tambah MOH.

"Sementara itu, kesemua kontak rapat kes itu yang dikenal pasti sudah diasingkan dan diletakkan di bawah kuarantin, dan akan diuji pada permulaan dan akhir tempoh kuarantin supaya kami dapat mengesan kes-kes yang tidak mempunyai simptom.

"Kami juga akan menjalankan ujian serologi bagi kontak-kontak rapat untuk menentukan jika kes-kes itu mendapat jangkitan dari mereka," menurut MOH lagi.

MOH menyatakan ia sedang memantau kelompok jangkitan sedia ada bagi sebarang kes jangkitan selanjutnya.

SATU-SATUNYA KES DI DORMITORI

Satu-satunya kes di dormitori dikesan melalui Ujian Rutin Berjadual setiap dua minggu oleh MOH bagi pekerja yang tinggal di dormitori.

Keputusan ujian serologi lelaki itu adalah positif, yang menandakan bahawa ia mungkin jangkitan yang lama, menurut MOH.

"(Ujian rutin berjadual) membolehkan kami untuk mengesan kes-kes lebih awal, termasuk kes tanpa simptom, supaya kami dapat mengasingkan mereka dengan segera bagi mencegah berlaku jangkitan lanjut, dengan membendung, menjejak dan mengasingkan kontak-kontak dekat secara agresif," tambah MOH.

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat kekal stabil pada purata kurang satu kes setiap hari sepanjang dua minggu lalu.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga merosot dari purata kurang daripada satu kes setiap hari pada minggu sebelumnya kepada tiada kes pada minggu lalu.

"Kami akan terus memantau jumlah ini dengan teliti, serta kes-kes yang dikesan menerusi program pemantauan kami," menurut MOH.

Memandangkan tiada kes berkaitan dengan kelompok di tapak binaan The Jovell di 27 Flora Drive sepanjang dua tempoh inkubasi, atau 28 hari, kelompok itu sudah ditutup, menurut MOH.

KADAR PEMULIHAN

20 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah kes yang pulih sebanyak 57,784, menurut MOH.

30 kes masih dirawat di hospital. Sebahagian besar berada dalam keadaan stabil atau beransur pulih, dan tiada yang dirawat dalam unit jagaan rapi.

Sebanyak 59 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

"Ini adalah kali pertama sejak 12 Mac jumlah kes aktif (merangkumi kes yang dirawat di hospital atau kemudahan masyarakat) merosot di bawah 100", menurut MOH.

28 orang meninggal dunia setelah mengalami komplikasi akibat jangkitan COVID-19. 

- CNA/HA/ha

Top