Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor terima bekalan vaksin COVID-19 dibawa masuk dari S'pura

Johor menerima sebahagian daripada bekalan vaksin COVID-19 yang tiba di Malaysia hari ini (21 Feb), untuk ditempatkan di empat pusat simpanan vaksin (PSV) di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Johor terima bekalan vaksin COVID-19 dibawa masuk dari S'pura

Johor terima bekalan vaksin COVID-19 dibawa masuk dari S'pura. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 21 Feb 2021 06:11PM Dikemas Kini : 21 Feb 2021 06:14PM

JOHOR BARU: Johor menerima sebahagian daripada bekalan vaksin COVID-19 yang tiba di Malaysia hari ini (21 Feb), untuk ditempatkan di empat pusat simpanan vaksin (PSV) di sana.

Bekalan itu yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech, tiba di Johor Baru dari Singapura, melalui jalan darat iaitu Tambak Johor.

Menyambut ketibaan bekalan di atas tambak berkenaan ialah Menteri Kesihatan Adham Baba dan Menteri Besar Johor Ir Hasni Mohammad.

Tinjauan BERNAMA mendapati lori syarikat logistik DHL dilihat berada di atas Tambak Johor kira-kira pukul 1.00 petang, sebelum ia bergerak ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kira-kira pukul 2.00 petang.

Lori berkenaan dilihat turut dikawal rapi oleh pihak berkuasa Singapura dan Malaysia dari awal Tambak Johor sehingga ke bangunan BSI.

Ia tiba di PSV milik DHL, kira-kira pukul 2.45 petang dan dijangka akan dihantar ke empat PSV Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mulai esok (22 Feb).

Dr Adham menerusi Facebook rasminya sebentar tadi menyatakan bagi negeri Johor, sejumlah 73,710 dos akan dihantar ke empat PSV berkenaan.

“Daripada PSV, vaksin ini kemudiannya akan diedarkan ke seluruh 54 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada di seluruh negeri Johor. Petugas barisan hadapan di negeri Johor adalah golongan pertama yang akan menerima vaksin ini secara berperingkat-peringkat mulai minggu ini,” tambahnya lagi.

Pada 18 Februari lalu Encik Hasni dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri dalam proses akhir memuktamadkan jumlah penerima vaksin di negeri tu termasuk petugas barisan hadapan bagi fasa pertama, yang akan dibuat pada hujung bulan ini atau bulan hadapan.

Setakat ini, seramai 18,000 petugas Kementerian Kesihatan di Johor sudah dikenal pasti akan menerima suntikan vaksin.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan