Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor bakal lancarkan aplikasi vaksinasi COVID-19 bagi rakyat M'sia yang ke S'pura

Kerajaan Johor akan melancarkan aplikasi khas vaksinasi bagi rakyat Malaysia yang memasuki Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Johor bakal lancarkan aplikasi vaksinasi COVID-19 bagi rakyat M'sia yang ke S'pura

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. (Gambar: Facebook/Hasni Mohammad)

Diterbitkan : 04 Apr 2021 10:00PM Dikemas Kini : 05 Apr 2021 11:15AM

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan melancarkan aplikasi khas vaksinasi bagi rakyat Malaysia yang memasuki Singapura.

Demikian menurut Menteri Besar Johor Hasni Mohammad hari ini (4 Apr).

Dalam catatan di laman Facebooknya, Encik Hasni berkata aplikasi itu, yang diberi nama ImmuPlan Johor, akan dibangunkan oleh kerajaan Johor.

"Buat permulaan seramai 100,000 orang disarankan mendaftar bagi vaksinasi menerusi aplikasi ini," kata beliau.

"Sebarang perkembangan akan diumumkan dari masa ke masa. Saya harap (pembangunan aplikasi ini) dapat membantu usaha untuk membuka semula sempadan Malaysia-Singapura dan memulihkan kuasa ekonomi Johor."

Encik Hasni memuat naik catatan itu di laman Facebooknya selepas mesyuarat dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Khairy Jamaluddin awal hari ini.

Encik Khairy adalah Menteri Penyelaras bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Malaysia.

Pada bulan lalu, Singapura dan Malaysia mengesahkan komitmen mereka untuk bekerjasama ke arah mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 satu sama lain, dengan tujuan memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa akan datang.

Pengumuman itu dibuat selepas Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan menemui rakan sejawatannya di Malaysia, Hishammuddin Hussein di Putrajaya.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua kementerian ehwal luar menyatakan "perincian operasi bagi Sijil Saling Mengiktiraf Vaksin antara Malaysia dengan Singapura, termasuk syarat-syarat terperinci, protokol kesihatan dan proses permohonan untuk keluar masuk Malaysia dan Singapura akan terus diteliti dan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak".

Menurut Dr Balakrishnan: "Sekarang, kami khususnya sedang meninjau untuk saling mengiktiraf sijil serta ujian-ujian, supaya kita boleh bergantung kepada pensijilan antara satu sama lain dengan tujuan untuk memudahkan perjalanan rentas sempadan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah diuji dan menerima vaksin dan boleh melakukan perjalanan dengan selamat.

"Kami berharap apabila perdana menteri kita bertemu, kita dapat membuat pengumuman penting yang akan membolehkan mereka yang mempunyai keluarga di kedua-dua negara untuk berjumpa semula, untuk membolehkan perniagaan disambung semula, yang akan membolehkan semula pelancongan secara selamat dan kami berharap untuk melihat koswe yang lebih sibuk."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan