Koronavirus

Images
  • MUIS photo 1
    Masjid Al-Islah di Punggol mengingatkan para jemaah mengenai langkah-langkah yang perlu dipatuhi. (Gambar: Mediacorp)

Jemaah semakin terbiasa dengan jarak selamat, pemeriksaan kesihatan jelang pelanjutan waktu operasi 46 masjid

SINGAPURA: Para jemaah sudah dapat menyesuaikan diri dan semakin terbiasa dengan wadah-wadah perisytiharan tahap kesihatan diri dan pengesanan kontak seperti SafeEntry yang dilaksanakan di merata Singapura sekarang.

SafeEntry, yang bermatlamat untuk membantu pengesanan kontak jika berlaku sebarang jangkitan atau penularan baru COVID-19, kini digunakan dengan meluas untuk keluar masuk pasar raya, bangunan pejabat dan banyak lagi premis lain sejak 'circuit breaker' bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 mula dilonggarkan secara bertahap-tahap di Singapura pada Selasa (2 Jun).


(Gambar langkah jarak selamat dilaksanakan di Masjid Sultan. Gambar: MUIS)

Dalam catatan Facebook Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Jumaat (5 Jun), Ketua Eksekutifnya, Encik Esa Masood, berkata bahawa beliau berbesar hati melihat ramai pekerja beragama Islam yang bertugas dalam sektor khidmat penting dapat menunaikan solat sejak masjid-masjid dibuka semula pada 2 Jun, dengan ruang terhad disediakan untuk para jemaah mendirikan solat secara sendirian di bawah Fasa 1A.

"Alhamdulillah, saya berbesar hati melihat ramai daripada pekerja khidmat penting kita dapat menggunakan ruang-ruang yang disediakan untuk menunaikan solat," kata Encik Esa.

Ramai juga yang membawa sejadah sendiri dan mematuhi peraturan jarak selamat semasa berada di dalam masjid dan pekarangannya.

Menurut Encik Esa lagi, masjid-masjid di sini juga sedang mempertingkatkan dan mengukuhkan keupayaan pengurusan keselamatan masing-masing.

46 MASJID LANJUTKAN WAKTU OPERASI

Ini kerana bermula esok (8 Jun), 46 masjid akan melanjutkan waktu operasi masing-masing bagi membolehkan kelima-lima solat fardu didirikan dalam pekarangannya.

Buat masa ini, solat berjemaah termasuk solat Jumaat masih belum dibenarkan.

Dalam kenyataannya pada Jumaat (5 Jun), MUIS menyatakan bahawa Fasa 1A disambut baik oleh umat Islam yang mematuhi langkah-langkah jarak selamat.

Encik Esa menambah: "Mereka yang mengunjungi masjid-masjid sudahpun menyesuaikan diri dengan pemeriksaan yang dijalankan sebelum memasuki masjid, selain membawa sejadah masing-masing dan beg sendiri untuk menyimpan kasut mereka."






(Gambar-Gambar: MUIS)

Di bawah Fasa 1B pula, ruang-ruang terhad akan disediakan di masjid-masjid berkenaan antara jam 5.30 pagi hingga 7.00 pagi. Masjid-masjid kemudian akan dibuka semula dari jam 1.00 tengah hari hingga 9.00 malam, menurut catatan tersebut.

Dalam pada itu, Encik Esa turut mendedahkan bahawa 21 masjid akan terus beroperasi antara jam 1.00 tengah hari hingga 6.00 petang. Pihaknya akan terus menyemak waktu operasi itu apabila keadaan bertambah baik.

Keutamaan bagi kegunaan ruang-ruang yang disediakan itu akan diberikan kepada para pekerja khidmat penting sepanjang tempoh ini, kata beliau.

BAWA SEJADAH SENDIRI

Encik Esa sekali lagi menasihati para jemaah yang menunaikan solat di masjid-masjid supaya membawa kelengkapan solat masing-masing.

"Kami menggesa para individu supaya membawa kelengkapan solat masing-masing seperti sejadah dan telekung bagi kaum Muslimah," katanya.


(Gambar persiapan dilaksanakan di Masjid Angullia menjelang pembukannya. Gambar: MUIS) 

Bagi melindungi golongan yang mudah terjejas akibat COVID-19, warga tua dinasihati supaya terus menunaikan solat di rumah semasa fasa pertama pembukaan semula masjid.

Encik Esa menekankan bahawa ini demi keselamatan mereka sendiri.

"Sama-sama kita boleh memastikan masjid-masjid sebagai ruang yang selamat.

"Apabila keadaan bertambah baik, langkah-langkah pencegahan sedia ada mungkin dapat dilonggarkan secara bertahap-tahap sedang kami menuju ke arah Fasa 2," tambahnya.


SENARAI 46 MASJID YANG LANJUT WAKTU OPERASI

Berikut adalah 46 masjid yang melanjutkan waktu operasi masing-masing bagi membolehkan kelima-lima solat fardu dapat dikerjakan dalam pekarangannya:

1. Masjid Al-Amin
2. Masjid Jamae Chulia
3. Masjid Jamek Queenstown
4. Masjid Mujahidin
5. Masjid Tasek Utara
6. Masjid Temenggong Daeng Ibrahim
7. Masjid Ahmad
8. Masjid Al-Huda
9. Masjid Al-Iman
10. Masjid Al-Khair
11. Masjid Al-Mukminin
12. Masjid Ar-Raudhah
13. Masjid Assyakirin
14. Masjid Darussalam
15. Masjid Hang Jebat
16. Masjid Hasanah
17. Masjid Maarof
18. Masjid Pusara Aman
19. Masjid Tentera DiRaja
20. Masjid Pulau Bukom
21. Masjid Abdul Aleem Siddique
22. Masjid Al-Ansar
23. Masjid Al-Islah
24. Masjid Al-Istighfar
25. Masjid Alkaff Kg Melayu
26. Masjid Al-Mawaddah
27. Masjid Al-Taqua
28. Masjid Darul Aman
29. Masjid Darul Ghufran
30. Masjid Hj Mohd Salleh (Geylang)
31. Masjid Kampong Siglap
32. Masjid Kassim
33. Masjid Khadijah
34. Masjid Khalid
35. Masjid Mydin
36. Masjid Wak Tanjong
37. Masjid An-Nur
38. Masjid Ahmad Ibrahim
39. Masjid Al-Istiqamah
40. Masjid Al-Muttaqin
41. Masjid An-Nahdhah
42. Masjid Assyafaah
43. Masjid Darul Makmur
44. Masjid En-Naeem
45. Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau
46. Masjid Yusof Ishak 

- BERITAmediacorp/ai

Top