Jangkitan COVID-19 di Indonesia jangkau 1 juta
Jangkitan COVID-19 di Indonesia pada Selasa (26 Jan) melepasi angka satu juta kes ketika proses vaksinasi virus itu sedang dilaksanakan di seluruh republik yang didiami hampir 290 juta orang itu.
JAKARTA: Jangkitan COVID-19 di Indonesia pada Selasa (26 Jan) melepasi angka satu juta kes ketika proses vaksinasi virus itu sedang dilaksanakan di seluruh republik yang didiami hampir 290 juta orang itu.
Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, covid19.go.id. hari ini, negara itu mencatatkan 13,094 kes baru dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan kini meningkat kepada 1,012,350 kes.
Bagaimanapun, 820,356 pesakit yang dijangkiti virus itu dilaporkan sudah sembuh.
Sejak kes pertama dikesan pada 2 Mac 2020, jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 28,468 orang dengan tambahan 336 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lalu.
Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum ini mengarahkan proses vaksinasi yang bermula 13 Januari lalu dengan menyasarkan lebih 182 juta penduduk negara itu diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
Vaksinasi itu tidak diberikan kepada mereka yang berusia 12 tahun ke bawah dan 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai risiko kesihatan seperti ibu hamil dan mereka yang berpenyakit kritikal seperti sakit jantung dan sebagainya.
Pada 6 Disember 2020, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin COVID-19 dari China, sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Dis lalu, manakala 15 juta lagi vaksin diterima pada 12 Januari lalu.
Selain vaksin Sinovac dari China, pemerintah Indonesia juga memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer dan Novovax.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.