Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangan 'mempertaruhkan nyawa anak' untuk berbelanja raya, kata Menteri Kanan M'sia

Sejak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu, ramai dalam kalangan ibu bapa dilihat mula mengambil kesempatan untuk membawa anak-anak keluar membeli-belah terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan 'mempertaruhkan nyawa anak' untuk berbelanja raya, kata Menteri Kanan M'sia

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Malaysia, Ismail Sabri Yaakob. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 17 May 2020 11:07AM Dikemas Kini : 17 May 2020 11:26AM

KUALA LUMPUR: Sejak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu, ramai dalam kalangan ibu bapa dilihat mula mengambil kesempatan untuk membawa anak-anak keluar membeli-belah terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ibarat burung yang terlepas dari sangkar, masing-masing bagai tidak menghiraukan akan bahaya ‘musuh senyap’ yang menanti di luar rumah apabila tegar mempertaruhkan nyawa anak mereka semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan hari raya termasuk baju baru.

Apabila ditanya pula, alasan yang diberikan cukup mudah, takut baju yang dibeli tidak padan saiznya dan tiada orang menjaga anak di rumah, sedangkan jika mata kasar dapat melihat bagaimana rakusnya virus itu sedia menerkam ke arah mangsa yang leka, pasti orang dewasa sendiri pun tidak berani untuk keluar rumah.

Hampir saban hari rasanya Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihati orang ramai bahawa selain warga emas dan mereka yang berpenyakit kronik, kanak-kanak juga merupakan golongan yang berisiko tinggi dijangkiti virus itu.

Walaupun setakat ini tiada kes kematian positif COVID-19 dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, namun sehingga semalam (16 Mei), Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 317 kes positif dalam kalangan kumpulan umur berkenaan.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa daripada jumlah itu, 112 kes atau 35 peratus dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dan 22 kes membabitkan bayi berusia kurang setahun.

Sehubungan itu, dalam hal ini hanya ibu bapa yang mampu menjadi benteng pertahanan untuk mengelak anak mereka daripada menjadi mangsa serangan virus yang sudah meragut seramai 113 nyawa setakat ini.

Kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam hal ini amat dituntut selain perlu memainkan peranan memberi didikan kepada anak-anak supaya mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi.

Seperti kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, walaupun tiada sekatan untuk ibu bapa membawa anak-anak ke pusat beli-belah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika PKPB, namun adalah menjadi tanggungjawab keluarga untuk tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya itu.

Jangan disebabkan hanya hendak menggembirakan anak-anak dengan membeli baju raya, ibu bapa pula meraung di pagi raya apabila anak-anak terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat terkena ‘kluster pusat beli-belah’ dek kecuaian sendiri.

Sumber : Bernama/AW/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan