Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangan biarkan COVID-19 pecah belah masyarakat S'pura, rakyat mesti bersatu melawannya, kata Amrin Amin

Pemerintah mendengar keprihatinan rakyat tentang pekerjaan, pendapatan dan kegusaran mereka berhubung kos-kos lain yang perlu dilunaskan di tengah-tengah langkah menjaga jarak selamat yang dipertingkatkan hari ini (7 Apr) selepas diumumkan oleh PM Lee Hsien Loong pada Jumaat lalu (4 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan biarkan COVID-19 pecah belah masyarakat S'pura, rakyat mesti bersatu melawannya, kata Amrin Amin

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin bertemu dengan para pengawal keselamatan semasa melawat Hospital Mount Alvernia pada 31 Mac 2020. (Gambar-gambar: Amrin Amin/Facebook)

SINGAPURA: Pemerintah mendengar keprihatinan rakyat tentang pekerjaan, pendapatan dan kegusaran mereka berhubung kos-kos lain yang perlu dilunaskan di tengah-tengah langkah menjaga jarak selamat yang dipertingkatkan hari ini (7 Apr) selepas diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat lalu (4 Apr).

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin dalam catatan Facebooknya semalam (6 Apr).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat sudahpun membentangkan belanjawan tambahan kedua yang diberi nama Belanjawan Kesepakatan semalam selepas mengumumkan Belanjawan Perpaduan dan kemudian Belanjawan Berdaya Tahan pada 18 Mac dan 26 Mac lalu.

Dalam catatan Facebooknya itu, Encik Amrin turut menekankan bahawa Belanjawan Kesepakatan yang bernilai S$5.1 bilion akan membantu rakyat dan syarikat-syarikat perusahaan mengharungi langkah-langkah lebih ketat selama sebulan, bermula hari ini bagi membendung wabak COVID-19.

Dalam belanjawan tambahan kedua itu, Encik Heng turut mengumumkan tentang Bayaran Kesepakatan sekali sahaja bernilai S$600, subsidi gaji yang dinaikkan kepada 75 peratus dan sokongan lebih luas bagi syarikat-syarikat perusahaan dan golongan yang bekerja sendiri.

Sehubungan itu, para penduduk menurut Encik Amrin lagi, perlu membantu mengekang penularan virus yang boleh membawa maut itu dengan mematuhi arahan pemerintah supaya duduk di rumah dan menjaga jarak selamat 1 meter jika benar-benar perlu keluar rumah.

"Pendek kata, tiada ruang untuk berputus asa. Kita mesti membendung dan berusaha untuk memperlahankan penularan dengan duduk di rumah dan mengamalkan jarak selamat".

Namun menurut Encik Amrin lagi, langkah-langkah tersebut tidak seharusnya merenggangkan hubungan kita. "Jangan biarkan ia memecahbelahkan kita. Sebaliknya, rakyat Singapura mesti berdiri teguh sebagai rakyat yang bersatu padu melawan COVID-19," kata Encik Amrin.

"Dalam masa sukar, kita mesti bersatu, berdiri teguh sebagai sebuah masyarakat yang berdaya tahan dan bersatu padu," ujar beliau.

"Ini bukan belanjawan biasa. Kita sedang berdepan dengan keadaan yang luar biasa. Belanjawan luar biasa ini untuk seluruh rakyat Singapura yang bertujuan untuk membakar dan menyemarakkan lagi semangat kita supaya kita bersatu hati mengharungi cabaran ini."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan