Koronavirus

Images
  • israel teen vaccine
    Seorang remaja terima suntikan vaksin COVID-19 di Tel Aviv, Israel pada 24 Jan 2021 (Gambar: REUTERS/Ronen Zvulun)

Israel akan agih lebihan bekalan vaksinnya kepada Palestin, Honduras & Republik Czech

BAITULMAKDIS: Israel mengumumkan pada Selasa (23 Feb) bahawa ia sudah memberikan sejumlah kecil lebihan vaksin COVID-19 kepada wilayah-wilayah yang ditadbir Palestin dan juga beberapa negara lain.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagaimanapun tidak pula menyebut nama negara yang dibantu Israel dalam kenyataannya semasa mengumumkan langkah tersebut.

Sungguhpun demikian, pemerintah Honduras - yang mengumumkan pada tahun lalu mengenai rancangan untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmakdis - menyatakan ia menjangkakan 5,000 dos dari Israel. Negara itu belum lagi menerima sebarang penghantaran vaksin.

Republik Czech menyatakan ia sudah menerima bekalan kecil dari Israel. Negara itu pada Disember lalu mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan kehadiran diplomatiknya di Baitulmakdis.

Israel mengimport vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna. Ia sudahpun menyuntik sekurang-kurangnya satu dos Pfizer pada hampir 50 peratus daripada 9 juta penduduknya dalam salah satu kempen vaksinasi terpantas di dunia.

Bulan ini, rakyat Palestin menerima penghantaran awal vaksin Moderna dari Israel, sekali gus membantu memulakan program vaksinasi terhad di Tebing Barat dan Gaza yang diduduki Israel.

Meskipun Israel membekalkan vaksin untuk rakyat Palestin di Baitulmakdis Timur, ia dikritik oleh negara-negara asing kerana tidak memperluaskan agihan vaksin itu ke wilayah-wilayah Palestin yang lain.

Vaksin yang diperuntukkan bagi Honduras akan diagihkan kepada para pekerja jagaan kesihatan yang berisiko terdedah kepada jangkitan COVID-19 dan sebuah pesawat Angkatan Tentera Udara Honduras kini berada di Israel untuk mengangkut bekalan vaksin tersebut, kata jurucakap pemerintah Carlos Madero.

Negara Amerika Tengah itu menyokong keputusan Amerika Syarikat untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmakdis, yang dilihat ramai sebagai satu 'keuntungan' diplomatik bagi Israel.

Israel menyifatkan Baitulmakdis sebagai ibu kotanya, walaupun ia tidak diiktiraf atau disokong oleh banyak negara. Rakyat Palestin menginginkan Baitulmakdis Timur, yang dicerobohi Israel bersama Tebing Barat dan Gaza dalam Perang Enam Hari 1967, dijadikan sebagai ibu kota rasmi Palestin pada masa akan datang.

Republik Czech sudahpun menerima beberapa ribu dos vaksin Moderna dari Israel, kata Menteri Luar negara itu, Tomas Petricek kepada para wartawan pada Selasa.

Sumbangan itu dihulurkan setelah presiden dan perdana menteri negara-negara anggota Kesatuan Eropah mengutuskan surat kepada Israel bagi meminta bantuan negara tersebut.

- Reuters/TQ/tq

Top